Denggi terkawal di Bandar Baru Klang
KLANG- Kes denggi di sekitar kawasan Bandar Baru Klang masih dalam keadaan terkawal.
ADUN Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim berkata pemantauan dijalankan oleh pihaknya bersama Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor yang diketuai oleh Dr Siti Mariah Mahmud.
"Kita menjalankan pemantauan pada setiap minggu dan juga mengadakan mesyuarat dari masa ke semasa.
"Dari segi angka kes, saya belum mendapatkan jumlah yang tepat namun berdasarkan info yang diterima kebanyakannya mencatatkan penurunan dan masih dalam keadaan terkawal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Program Gotong-royong Basmi Aedes bersama Komuniti di Pangsapuri Dahlia di sini tadi.
Katanya, faktor pembiakan nyamuk aedes berpunca daripada takungan air terutama di kawasan awam.
"Jadi antara langkah dan tindakan yang kita ambil adalah jalankan kempen kesedaran kepada masyarakat.
"Terutamanya melibatkan aspek-aspek penjagaan kebersihan kawasan persekitaran bagi memastikan tiada takungan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.
Dalam pada itu lebih 100 penduduk di Pangsapuri Dahlia di sini menyertai program gotong-royong berkenaan yang dianjurkan bersama pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Integrated Mosquito Research Group(IMeRg) di sini.
Chang Kim yang hadir sama dalam program tersebut turut bersama menyumbangkan beberapa tong sampah bagi kegunaan warga pangsapuri berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!