Lebuhraya Sungai Besi diselenggara hingga 31 Disember

Poster menunjukkan kerja penyelenggaraan yang dilakukan di Besraya hingga 31 Diswmber depan.
Poster menunjukkan kerja penyelenggaraan yang dilakukan di Besraya hingga 31 Diswmber depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja penyelenggaraan jalan secara berjadual membabitkan kerja turapan dan penanda jalan akan dijalankan Besraya (M) Sdn Bhd di di sepanjang Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) mulai hari ini (Selasa) hingga 31 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, bagaimanapun semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dijadualkan berlangsung pada sebelah malam sahaja iaitu mulai jam 10 malam hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, penyelenggaraan yang dilakukan dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu merupakan salah satu usaha berterusan untuk terus meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan.

"Kerja-kerja penyelenggaraan jalan ini akan dilaksanakan secara berperingkat antara Kilometer (KM) 0.1 hingga KM21.9, KMB0.0 hingga KMB0.8, KMS0.0 hingga KMS2.2 dan KMP0.0 hingga KMP3.3 yang melibatkan kedua-dua arah bagi mengurangkan gangguan trafik terhadap perjalanan pengguna lebuh raya.

"Semasa kerja penyelenggaraan dijalankan, penutupan lorong akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan dua lorong terus dibuka untuk keselesaan pengguna lebuh raya pada setiap masa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Salwani memberitahu, Besraya juga akan memastikan maklumat trafik serta penutupan lorong di lokasi yang terlibat dihebahkan kepada orang ramai secara berterusan melalui papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya.

“Bagaimanapun sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan di lorong tengah dijalankan, lorong kanan juga akan ditutup untuk tujuan keselamatan. Oleh itu, hanya lorong perlahan sahaja yang boleh dilalui.

"Sekiranya terdapat keperluan, lorong kanan akan dibuka kepada pengguna lebuhraya,” tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya pengguna lebuh raya mematuhi arahan papan tanda keselamatan dan had laju yang telah ditetapkan.

"Besraya memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua pengguna lebuh raya. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian Besline di 1-800-88-0999," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!