CIMB gandakan sasaran kewangan lestari RM60 bilion

Barisan kepimpinan CIMB bergambar kenangan bersama Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) semasa upacara pembukaan sidang kemuncak perdana tahunan CIMB, 'The Cooler Earth Sustainability Summit' di Kuala Lumpur.
Description
Barisan kepimpinan CIMB bergambar kenangan bersama Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) semasa upacara pembukaan sidang kemuncak perdana tahunan CIMB, 'The Cooler Earth Sustainability Summit' di Kuala Lumpur. Description
A
A
A

CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengukuhkan komitmen untuk mencapai sasaran sebagai peneraju kelestarian ASEAN dengan menggandakan sasaran kewangan lestari kepada RM60 bilion menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, sasaran kewangan lestari baharu telah ditingkatkan kepada RM60 bilion, memandangkan CIMB telah berjaya mencapai sasaran yang diumumkan sebelum ini iaitu sebanyak RM30 bilion.

Katanya, sasaran CIMB untuk memperoleh kewangan lestari sebanyak RM30 bilion telah berjaya dicapai dua tahun lebih awal daripada perancangan asal.

Beliau berkata, gandaan sasaran tersebut dibuat di bawah rangka kerja Produk dan Perkhidmatan Berimpak Hijau, Sosial serta Kelestarian (GSSIPS).

"Ia berpandukan rangka kerja GSSIPS yang menjadi panduan dan taksonomi dalaman bagi CIMB untuk menggerakkan kewangan lestari yang berimpak tinggi.

"Selaras dengan rangka kerja ini, komitmen kewangan lestari CIMB antara lain termasuk pembiayaan runcit, pembiayaan korporat dan komersial, pembiayaan perdagangan, pasaran modal hutang dan ekuiti, pengurusan kekayaan, dan penyelesaian Perbendaharaan yang bersifat hijau, sosial, dan lestari, serta berkaitan dengan kelestarian.

"Sasaran kewangan lestari ini turut melengkapkan komitmen kelestarian yang diumumkan oleh CIMB pada tahun 2021, selain sasaran untuk mencapai pelepasan Sifar Bersih menjelang tahun 2050, termasuk pelepasan yang dibiayai skop 3," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian sewaktu upacara pembukaan sidang kemuncak perdana tahunan CIMB iaitu 'The Cooler Earth Sustainability Summit' yang bertemakan 'Memudahkan Peralihan Yang Adil'.

Artikel Berkaitan:

Upacara pembukaan The Cooler Earth itu telah disempurnakan dengan Pembukaan Diraja yang dititah oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Satu panel menteri turut diadakan bagi membincang mengenai ‘Mempercepatkan Tindakan dan Keadilan Perubahan Iklim’.

Barisan panel menteri terdiri daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kewangan Republik Indonesia, Sri Mulyani Indrawati serta Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Karima El Korri sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, komitmen dan prestasi berterusan yang baik itu memberi gambaran berhubung kemajuan CIMB ke arah kelestarian kumpulan sejak detik permulaan kelestarian kewangan pada 2018.

Katanya, kesemua pencapaian itu merupakan bukti CIMB terhadap pemacuan ke arah kewangan lestari yang telah berjaya dikecapi menerusi sokongan yang diberikan oleh pelanggan di serata ASEAN.

Sepanjang tahun lalu menurutnya, CIMB berjaya mempelopori urus niaga peneraju pasaran yang inovatif seperti derivatif berkaitan kelestarian dan Murabahah Kolateral Bercagar Lestari, disamping memperkenalkan tawaran terbaru iaitu Akaun Pelaburan Lestari Berjangka-i.

Tambahnya, pada masa akan datang, pihaknya merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan lestari yang inovatif, demi memperkukuhkan kedudukan CIMB dalam pasaran kewangan lestari sekali gus memberi impak positif ke atas ekonomi, alam sekitar dan masyarakat sosial di seluruh rantau ini.

"Sebagai sebuah organisasi dan pengantara kewangan yang didorong oleh tujuan, CIMB berada dalam kedudukan yang baik untuk mempengaruhi serta menggalakkan amalan dan gaya hidup perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial.

"Melalui sidang kemuncak The Cooler Earth yang bertemakan 'Memudahkan Peralihan Yang Adil' ini, kami berhasrat untuk menonjolkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bersama demi memastikan peralihan segera ke arah ekonomi rendah karbon yang juga bersifat adil dan inklusif untuk semua kelompok masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!