Tiada lagi kompromi penjaja tiada lesen mulai 1 Januari
KUALA LUMPUR - Peniaga dan penjaja di ibu kota yang masih tidak memiliki lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa membuat permohonan sebelum 31 Disember ini bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, DBKL akan melaksanakan program pemutihan lesen perniagaan bermula 1 Januari tahun depan dan tiada sebarang kompromi selepas tempoh itu.
"Sepanjang tiga bulan bermula 1 Oktober ini, penguatkuasaan akan dilonggarkan bagi memberi peluang kepada peniaga di Kuala Lumpur menjalankan proses memohon lesen yang akan diberi kepada yang layak.
"Tidak akan ada lagi kompromi kepada peniaga tanpa lesen selepas tempoh berkenaan," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Terdahulu Jalaludin menyerahkan surat tawaran Lesen Statik Tepi Jalan kepada 18 penjaja yang menjalankan perniagaan di Jalan Palong, Taman Miharja, Cheras.
Jalaluddin turut mengingatkan peniaga agar patuh dengan peraturan dan syarat lesen yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan termasuk pembatalan lesen diambil. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!