Selangor raih emas acara boling padang pairs campuran
SKUAD boling padang Selangor meraih emas acara pairs campuran selepas menewaskan Perak 15-8 pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada Selasa.
Pada pertemuan final di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini, gandingan Muhammad Haiqal Azami dan Nurshafila Omar bermula agak perlahan selepas ketinggalan pada tiga ends pertama 2-5 kepada gandingan Perak Muhammad Atiq Imran Aminuddin dan Noor Shuhaiza Nadia Ghazali.
Memasuki ends ketujuh berlaku aksi kejar-mengejar mata antara kedua-dua pasukan, namun Selangor kembali menemui rentak untuk akhirnya mendahului 10-7.
Aksi skuad boling padang Selangor yang kian sukar digugat Perak kemudian dijelmakan kepada pingat emas pada ends terakhir dengan catatan 15-8.
"Alhamdulillah berjaya dapat pingat emas bagi acara ini yang merupakan pertama kali saya menyertainya (pairs campuran) bergandingan dengan Nurshafila.
"Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang kejayaan hari ini kerana esok saya mempunyai satu lagi acara membabitkan fours dan sasaran emas diletakkan sekali gus menjadikannya sebagai penutup yang sempurna pada Sukma kali ini," kata Muhammad Haiqal kepada pemberita di sini.
Nurshafila pula berkata, kejayaan diperoleh mereka berdua hari ini merupakan hasil keserasian dibentuk sejak beberapa tahun lepas sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.
"Semasa pandemik kami terpaksa berlatih secara dalam talian dan keputusan hari ini telah membuktikan kerja keras itu berbaloi," katanya.
Dalam satu lagi aksi bagi penentuan pingat gangsa, gandingan Johor Muhammad Fikri Mohamed Hashim dan Fatin Nurrawiah Shamsudin menewaskan gandingan Terengganu Muhammad Zulfadli Mohamad dan Noor Farah Fazliena Alimi 14-7 pada ends terakhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!