Bajet 2023: KSM usul dana tambahan perlindungan suri rumah
SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengusulkan dana tambahan bagi perlindungan keselamatan golongan suri rumah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Belanjawan 2023.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu KSM menerusi Perkeso membekalkan jaringan keselamatan kepada suri rumah bagi melindungi dan menjaga kebajikan golongan itu.
"Ramai keluarga yang menghadapi masalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas apabila suami sebagai pemberi nafkah tunggal menghadapi penyakit kronik, dan dengan persetujuan kementerian, kita akan melaksanakan jaringan keselamatan ini untuk 50,000 suri rumah tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Keluarga Kesatuan Sekerja Se-Malaysia 2022 di sini pada Selasa.
Katanya, perkara itu merupakan salah satu daripada lebih 10 inisiatif baharu yang diusulkan kementeriannya kepada Kementerian Kewangan untuk pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Okt ini.
Saravanan berkata, inisiatif yang diusulkan itu adalah sebahagian usaha kementerian bagi memfokuskan kepada cabaran yang dihadapi dunia termasuk Malaysia selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
"Kita akan fokus pada cabaran ini (IR4.0). Kita perlu lahirkan modal insan yang berdaya saing dari segi ‘digital talent' dan akan memberi fokus kepada ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ tenaga kerja negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!