Tidak perlu sidang tergempar bahas isu PCB: MB Perak
LENGGONG - Isu melibatkan Perak Corporation Berhad (PCB) tidak perlu dibahaskan dalam Persidangan Dewan Negeri hingga perlu memanggil sidang tergempar, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, permohonan seperti diajukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin itu sama sekali di luar kewajaran kuasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Dewan Negeri nak buat apa bahas benda itu sebab tidak ada point (kewajaran) untuk kita (ahli-ahli Dewan) berbahas. Kita bukan ada saham, bukan juga pemegang saham apatah lagi bisnes dalam PCB.
"Dalam (sidang) Dewan (sebelum ini), berkali-kali saya katakan PCB adalah listed company (tersenarai di Bursa Malaysia), jadi tiada apa yang hendak diputuskan oleh Sidang Negeri. Semua urusan berkaitan bisnes PCB tertakluk kepada Lembaga Pengarahnya dan Suruhanjaya Sekuriti (SC)," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan wakil rakyat DAP itu yang dilapor mahu bertemu Menteri Besar untuk meminta diadakan mesyuarat khas Sidang DUN selepas melihat keseriusan kes PCB.
Dalam laporan media, Chong Zhemin memaklumkan, keputusan Mahkamah Majistret Ipoh meminta agar kes pengisytiharan akaun PCB dirujuk semula kepada polis untuk siasatan lanjut berikutan terdapat unsur jenayah ditemui.
Chong Zhemin dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa, pengaturan skim perkiraan yang dilaksanakan PCB adalah penipuan kerana syarikat itu didakwa menyembunyikan asetnya di peringkat kumpulan dalam usaha untuk menipu pemiutangnya.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, keputusan mahkamah itu seharusnya dipatuhi dengan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan lanjut.
"Dia, wakil rakyat seharusnya bersikap profesional. Saya tak mahu jumpa dia walaupun saya tahu dia terlampau ghairah terhadap kes ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!