Krisis ekonomi Lubnan makin kritikal
BEIRUT - Nilai mata wang pound Lubnan jatuh pada paras terendah pada Isnin berikutan negara itu kini berdepan kemelesetan ekonomi yang teruk dan disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu.
Di tengah-tengah kegawatan itu, nilai pound menjunam kepada 38,600 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Selama beberapa dekad, nilai pound Lubnan ditambat 1,507 kepada dolar AS yang bermaksud ia kini kehilangan kira-kira 95 peratus daripada nilai pasaran gelapnya sejak 2019.
Jurubank, Saeb El-Zein berkata, kemerosotan nilai pound Lubnan itu adalah disebabkan permintaan dolar di pasaran gelap yang semakin meningkat susulan keputusan dibuat pemerintah untuk menarik balik subsidi negara termasuk bahan api.
Situasi yang semakin kritikal menyebabkan pihak pengurusan bank di Beirut terpaksa mengenakan sekatan terhadap pendeposit yang mahu membuat pengeluaran wang mereka hingga mencetuskan siri ‘rompakan’ dan protes ganas sejak beberapa minggu lalu.
Dalam insiden terbaharu, ratusan peserta protes menyerbu pintu pagar Istana Kehakiman sebagai membantah penahanan dua individu yang terlibat insiden ‘rompakan’ tersebut.
Demonstrasi turut diadakan di ibu kota dan bandar utara Tripoli yang menyaksikan peserta protes menyekat laluan utama untuk menzahirkan kemarahan terhadap krisis ekonomi yang semakin meruncing didakwa berpunca daripada skandal rasuah melibatkan golongan elit politik dan salah urus kerajaan.
Negara itu kini semakin terdesak untuk mendapatkan bantuan pinjaman daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi meredakan krisis berkenaan.
Delegasi IMF dilaporkan tiba di Beirut untuk memantau pelaksanaan langkah pembaharuan di bawah senarai tuntutan dikemukakan Lubnan setelah perjanjian awal mengenai program pinjaman berjumlah AS$3 bilion (RM13.65 bilion) dimeterai pada April lalu.
“Terdapat kemajuan yang perlahan dalam melaksanakan beberapa tindakan kritikal,” kata jurucakap IMF, Gerry Rice pada minggu lalu.
Pendeposit ‘rompak’ bank
Kebanyakan pendeposit yang kecewa bertindak nekad melakukan ‘rompakan’ setelah mereka tidak boleh mengeluarkan atau memindahkan wang simpanan masing-masing.
Pada minggu lalu, sebanyak tujuh cawangan bank menjadi sasaran ‘rompakan’ pendeposit hingga menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Bassam Mawlawi mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan perkara tersebut.
“Menuntut semula hak dengan cara ini boleh memecahkan sistem dan memberi kesan kepada pendeposit lain,” tegasnya yang turut menyelar tindakan segelintir pendeposit yang menggunakan senjata api untuk menakut-nakutkan kakitangan bank.
Sementara itu, pendakwa raya awam, Ghassam Queidat menggesa pihak berkuasa memberkas individu yang terlibat ‘rompakan’ tersebut yang didakwa berisiko memburukkan lagi krisis kewangan dan ekonomi di negara berkenaan.
Bagi mengelakkan kejadian ‘rompakan’ berulang dan atas faktor keselamatan, institusi perbankan dilaporkan terpaksa menutup operasi selama tiga hari bermula Isnin.
Kemarahan penduduk negara itu semakin memuncak apabila bank di Beirut didakwa beroperasi seperti ‘kartel’ dan sewenang-wenangnya membenarkan pengeluaran sejumlah besar wang untuk pegawai kanan ketika pemindahan asing disekat untuk rakyat biasa.
Bagi mencari jalan penyelesaian kepada krisis itu, Parlimen merancang untuk meluluskan bajet 2022 yang merupakan kunci utama diperlukan Lubnan bagi mendapatkan berbilion dolar daripada peminjam antarabangsa.
Namun, sesi tersebut terpaksa ditangguhkan pada Isnin depan kerana tidak cukup kuorum setelah beberapa ahli Parlimen keluar meninggalkan dewan pada sidang Jumaat lalu. - AFP
Info
- Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati empat daripada lima penduduk di Lubnan yang berpopulasi kira-kira 6.82 juta orang kini hidup dalam kemiskinan.
- Pendeposit di Beirut berdepan sekatan untuk pengeluaran wang simpanan milik mereka sejak 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!