China berjaya hasilkan serigala artik klon pertama di dunia

Penyelidik China berjaya mengklonkan seekor serigala artik liar yang pertama di dunia, Maya baru-baru ini. - Foto Sinogene Biotechnology Co
Penyelidik China berjaya mengklonkan seekor serigala artik liar yang pertama di dunia, Maya baru-baru ini. - Foto Sinogene Biotechnology Co
A
A
A

BEIJING - Sebuah firma gen yang berpangkalan di Beijing baru-baru ini mengumumkan kejayaan sulung mengklonkan serigala artik liar pertama di dunia.

Ia dilahirkan di sebuah makmal di Beijing pada 10 Jun lalu.

Pakar-pakar berkata, kejayaan itu mempelopori pembiakan haiwan yang semakin pupus dan terancam melalui teknologi pengklonan.

"Untuk menyelamatkan haiwan terancam, kami memulakan kerjasama penyelidikan dengan Harbin Polarland mengenai pengklonan serigala artik pada tahun 2020.

"Selepas dua tahun melakukan usaha gigih, serigala artik berjaya diklonkan. Ia adalah kes pertama seumpamanya di dunia," kata Mi Jidong iaitu pengurus besar syarikat Sinogene Biotechnology Co yang berpangkalan di Beijing pada sidang akhbar di Beijing seperti dilaporkan portal Global Times.

Kelahiran serigala artik liar yang diklon itu merupakan satu peristiwa penting bagi penerapan teknologi pengklonan.

Serigala itu bernama Maya dan kesihatannya berada dalam keadaan yang sangat baik.

Sel pendermanya berasal dari sampel kulit serigala artik betina liar yang telah diperkenalkan dari Kanada. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!