Ayuh Harimau Malaya! Mengaumlah di Chiang Mai
ESOK, skuad bola sepak kebangsaan turun menentang Thailand pada kejohanan empat penjuru Piala Raja Thailand Edisi ke-48 di Chiang Mai.
Sudah tentu bukan sahaja Merak Jalanan, malah seluruh peminat bola sepak tanah air pasti teruja untuk melihat aksi kompetitif pertama anak buah Kim Pan-gon selepas melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023, Jun lalu.
Bagi Merak Jalanan, kejohanan berstatus persahabatan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain Harimau Malaya bagi mencipta momentum kemenangan.
Ini kerana, kemenangan demi kemenangan sudah tentu menyuntik keyakinan pemain apabila bertemu pasukan yang berada di ranking lebih tinggi kelak.
Merak Jalanan rasa pemilihan pemain kali ini adalah yang terbaik kerana kombinasi pemain senior dan muda, selain tiada tonggak yang boleh dianggap bertaraf bintang.
Firasat Merak Jalanan untuk mengatakan skuad kali ini mampu menjulang Piala Raja Thailand juga kuat berdasarkan aksi dipersembahkan sepanjang pusingan kempen kelayakan Piala Asia.
Malah, keyakinan itu diperkukuhkan lagi dengan sasaran Pan-gon untuk membawa skuadnya mara ke pentas final.
Dalam pertandingan empat penjuru itu nanti, Malaysia yang berada di kedudukan ke-148 dunia akan menentang Thailand (111) pada aksi pertama, manakala Trinidad dan Tobago (101) akan berdepan Tajikistan (109).
Pemenang kedua-dua perlawanan akan bertemu di final pada 25 September, manakala pasukan yang kalah akan bersaing untuk tempat ketiga.
Malaysia pada era 1970-an pernah menjuarai empat edisi Piala Raja Thailand iaitu pada 1972, 1976, 1977 dan 1978.
Ayuh Harimau Malaya! Tunjukkan taring di Chiang Mai. Kekalkan momentum kemenangan dan buktikan kita masih antara pasukan yang berbisa di rantau Asia Tenggara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!