Warga emas mahu diskaun bil utiliti
SHAH ALAM - Menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober nanti, pelbagai pihak mengutarakan cadangan kepada kerajaan agar membantu rakyat mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi negara.
Salah satu cadangan itu adalah membantu warga emas dengan mengadakan diskaun bil utiliti bermula tahun depan.
Bekas arkitek di sebuah syarikat swasta, Muhamad Ab Hamid berkata, perkara tersebut penting memandangkan sebagai seorang pesara, pendapatannya menyusut berbanding sewaktu bekerja dahulu ditambah pula bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Memandangkan dahulu saya bekerja di syarikat swasta dan kini sudah bersara, tiada bayaran bulanan yang diterima seperti pesara kerajaan.
“Seandainya pihak kerajaan dapat meringankan sedikit beban kami seperti kurangkan bayaran utiliti kepada beberapa peratus, itu agak melegakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Muhamad, 74, berkata, kerajaan juga diharap menyalurkan keperluan asas secara bulanan kepada seluruh warga emas menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kami tidaklah mengharapkan kerajaan mengusahakan suatu perkara besar kepada warga emas, dapat ambil perhatian mengenai isu kebajikan sebegini pun sudah memadai,” katanya.
Sementara itu, Jalaludin Johan, 68, berkata, kerajaan perlu memberikan subsidi harga barang kepada seluruh warga emas sebagai mengurangkan beban mereka.
“Warga emas seperti kami tidaklah membeli barang terlalu banyak, ala kadar sahaja,” kata bekas guru itu.
Bekas pemandu komuter, Rosli Amir, 72, pula mengharapkan agar kerajaan dapat memantau harga barang terutama yang merupakan keperluan dominan masyarakat seperti ayam dan ikan.
“Harga barang sekarang terasa betul kenaikannya, hampir RM100 hingga RM200 dihabiskan semata-mata bagi membeli keperluan di pasar,” kata Rosli.
Dalam pada itu, Mohd Ismail Kamarudin, 65, mencadangkan kerajaan memberikan diskaun yuran universiti kepada mahasiswa yang ibu bapanya merupakan warga emas.
“Macam yang kita lihat, pendapatan isi rumah warga emas tidaklah sebanyak mana memandangkan rata-rata antara mereka bersara, namun komitmen mereka dalam kehidupan masih lagi sama.
“Dengan diskaun yuran universiti kepada anak-anak yang masih di kampus, saya kira amat wajar,” jelas bapa kepada sembilan anak itu.
Bekas kakitangan kerajaan, Abd Malek Johan, 63, menyarankan agar warga emas yang merupakan pesara kerajaan diberi latihan dan dana bagi mengusahakan aktiviti seperti perniagaan atau pertanian.
“Dahulu mereka berkhidmat dalam kerajaan serta memberikan sepenuh tenaga terhadap produktiviti jabatan terlibat.
“Apabila sudah bersara, mereka hanya menerima wang pencen sebagai imbuhan atas jasa mereka terdahulu.
“Tidak salah jika kerajaan bantu mereka beri dana lain serta latihan untuk berniaga dan bercucuk tanam.
“Sekurang-kurangnya ada hasil yang dapat mereka beri kepada negara meskipun sudah bersara,” ulasnya.
Tambahkan bantuan tunai kepada warga emas
Sementara itu, Malaysian Coalition on Ageing (MCOA) berharap kerajaan menambah bantuan tunai dan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai kepada golongan warga emas dalam Bajet 2023 nanti.
Pengerusinya, Cheah Tuck Wing berkata, penambahan bantuan tunai itu seiring peningkatan kos sara hidup rakyat, selain mengambil kira faktor warga emas yang berdepan masalah kekurangan simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurut Tuck Wing, simpanan persaraan itu menyusut susulan pengeluaran dana KWSP menerusi kemudahan i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Untuk membantu warga emas, kerajaan perlu tambah bantuan tunai yang diberikan sebelum ini.
“Kerajaan juga dimohon menyediakan satu platform dan galakan kepada warga emas untuk terus bekerja selepas bersara,” katanya.
Tuck Wing menjelaskan, pesara yang tidak mempunyai kemahiran khusus boleh digalakkan untuk bekerja dalam sektor sokongan yang tidak memerlukan kepakaran tertentu.
“Memandangkan negara mengalami masalah kekurangan tenaga buruh asing, kenapa tenaga warga emas ini tidak digunakan untuk mengisi kekosongan itu?
“Mereka boleh lakukan kerja-kerja yang sesuai dengan kudrat warga emas seperti membantu kerja pembungkusan dan tugas pembersihan pejabat atau sebagainya,” ujar beliau.
Tuck Wing turut mengesyorkan kerajaan menaikkan kadar bayaran pencen untuk semua pesara kerajaan kepada minimum RM2,000 sebulan berdasarkan kos sara hidup semasa rakyat.
“Cadangan ini disuarakan supaya pesara mampu meneruskan kelangsungan hidup.
“Berdasarkan satu laporan sebelum ini, seseorang individu memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk hidup di bandar,” tambahnya.
Tuck Wing juga meminta kerajaan memberikan insentif cukai pekerja yang menghampiri usia emas untuk membantu mereka memiliki lebih simpanan persaraan memandangkan majoriti golongan B40 ketika ini, tidak mempunyai simpanan yang cukup.
Dari segi kesihatan pula, beliau berkata, MCOA berharap kerajaan dapat meningkatkan jumlah peruntukan untuk rawatan kesihatan warga emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!