'Sekurang-kurangnya adalah kuburnya'
SIMPANG PULAI - "Lega sedikit hati ini apabila dimaklumkan ada penemuan. Harapannya nanti yang dijumpai itu adalah suami saya, sekurang-kurangnya adalah kuburnya," kata isteri kepada Itam Lasoh, 43, mangsa runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu.
Pada Selasa, pasukan mencari dan menyelamat menemui cebisan tulang dan rangka manusia bersama serpihan baju dan jengkaut di lokasi dua mangsa dikhuatiri tertimbus itu.
Bagaimanapun setakat ini, masih belum dapat dipastikan cebisan baju dan tulang berkenaan adalah milik siapa.
Wak Uda Bah Kim, 41, berkata, sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu, hatinya berdebar dan berharap agar yang dijumpai itu adalah suaminya.
"Hati saya ini tak tahu nak jelaskan bagaimana, saya hanya banyak berdoa.
"Apa-apa pun kena tunggu hasil bedah siasat dahulu untuk kepastian, saya dan anak-anak tetap menunggu dengan penuh harapan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.
Dia berkata, penemuan itu memberi harapan besar kepada mereka sekeluarga yang tidak pernah berputus asa menanti, meskipun selepas enam bulan tragedi itu berlalu.
Katanya, sejak tragedi itu, hampir setiap minggu, dia berkunjung ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri kerja-kerja mencari dan menyelamat yang dijalankan.
"Dari awal sampailah hari ini memang saya selalu datang, kadang-kadang sekali seminggu, dua kali seminggu.
"Saya sudah tanam tekad, selagi tak jumpa, jangan sesekali putus harapan," katanya.
Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
Sementara itu, usaha mengesan seorang lagi pekerja kuari yang masih tertimbus diteruskan jam 8 pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, gerakan yang dilakukan semalam telah menemukan sebuah lagi jengkaut disyaki tertimbus dalam runtuhan itu.
Jelasnya, jentera itu ditemukan sekitar jam 5.02 petang pada jarak tiga meter dari lokasi pertama jengkaut dan rangka tulang ditemukan.
"Setakat ini kedudukan mangsa belum diketahui dengan tepat disebabkan terdapat timbunan batu besar di atas jentera berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!