Maritim tahan empat PATI ditemui terapung
KLANG – Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor telah menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemui terapung kira-kira 0.7 batu nautika Pulau Pintu Gedong di sini pada Selasa.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, Pusat Operasi Maritim Selangor telah menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu berkenaan aduan awam berkaitan empat orang ditemui terapung di lokasi terbabit pada jam 2.15 petang.
"Kita telah mengatur gerak bot Petir 83 ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan, keempat-empat mangsa itu telah diselamatkan oleh sebuah kapal pandu (pilot boat) milik Pelabuhan Klang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Siva Kumar berkata, hasil pemeriksaan mendapati, empat lelaki warga Indonesia dalam lingkungan umur 26 hingga 43 tahun itu cuba dibawa keluar dari Malaysia tetapi terkandas di Pulau Che Mat Zin kerana ditipu oleh ejen sindiket penyeludupan migran.
"Difahamkan, mereka nekad berenang menyeberangi laut untuk ke Pulau Indah setelah empat hari ditinggalkan tanpa makanan," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua PATI yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!