Insiden perkauman: PM Sepanyol kecam Atletico
PERDANA Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengecam kelab La Liga, Atletico Madrid yang langsung tidak mengambil pendirian menentang laungan berbaur perkauman daripada penyokong mereka yang ditujukan kepada pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior.
Menurut Sanchez, kelab itu sepatutnya memandang serius isu tersebut dan perlu bertindak dengan sewajarnya bagi memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang.
“Saya rasa adalah penting kelab bola sepak mengambil serius perkara ini dan bertindak,” katanya.
Sebelum ini pada Ahad, sebahagian penyokong Atletico melaungkan perkataan berbaur ejekan ketika tewas 2-1 kepada Real Madrid.
Malah terdapat penyokong membaling objek seperti pemetik api ke arah pemain Brazil itu dan rakannya, Rodrygo ketika meraikan jaringan.
Selepas kenyataan yang dikeluarkan Sanchez, Atletico kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan mengutuk tindakan dilakukan penyokongnya pada perlawanan itu.
“Atletico Madrid mengutuk tindakan tidak boleh diterima sebahagian kecil penyokong yang menyanyi di luar stadium sebelum pertembungan dengan jiran itu.
“Sekumpulan kecil tidak boleh mencemarkan imej ribuan lagi penyokong Atletico yang memberi sokongan buat pasukan mereka dengan keghairahan dan rasa hormat kepada lawan,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!