Semangat Merdeka seiring kegigihan wira-wira Grab
SHAH ALAM - Dalam suasana sambutan merdeka dan Hari Malaysia yang masih dirasai ini, Grab Malaysia turut mendokong segala inspirasi dalam membangunkan ekonomi, modal insan dan semangat patriotisme dalam diri seluruh rakyat terutamanya kepada wira-wira jalanan Grab.
Kegigihan, tekad dan usaha yang berterusan ditunjukkan oleh pemandu dan penghantar Grab sememangnya seiring dengan semangat kemerdekaan membara diri setiap masyarakat.
Baru-baru ini Grab turut melancarkan sebuah filem Hari Kebangsaan & Hari Malaysia yang diinspirasikan daripada kata-kata harapan di beg dan kereta Rakan-Penghantar dan Pemandu: https://www.youtube.com/watch?v=cNW_FZeAFDA
Dengan itu, kami telah menemu bual beberapa rider dan pemandu Grab untuk mengetahui cerita inspirasi mereka.
OKU jadikan Grab sebagai rezeki baharu bina hidup
Bukan mudah untuk seorang insan menerima hakikat apabila dirinya disahkan bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat terlibat dalam kemalangan di tempat kerja pada usia remaja.
Demikian dugaan dihadapi oleh Zainal Atan, 51 yang terpaksa menelan realiti pahit itu apabila mengalami patah tulang belakang dan kudung kedua-dua kakinya pada tahun 1989 ketika berumur 19 tahun.
Disebabkan peristiwa hitam tersebut, dia terpaksa menghadapi saat sukar gagal mendapat pekerjaan akibat kecacatan fizikalnya itu.
Lebih memilukan, Zainal juga terpaksa melalui episod perceraian pada 2011 dengan bekas isterinya hanya selepas empat tahun menjalani kehidupan berumah tangga.
“Lepas bercerai itu memang saya kecewa dan terfikir sampai bila saya nak jadi macam ini. Jadi saya bernekad untuk hijrah keluar dari kampung (Bahau, Negeri Sembilan) untuk belajar hidup sendiri.
“Masa itu saya berhijrah ke Melaka dan tinggal di Masjid Cina, Krubong selama lima tahun sehinggalah rakan saya kenalkan dengan pekerjaan sebagai pemandu Grab pada 2018,” katanya kepada Sinar Harian.
Sejak daripada itu, Zainal berkata, beliau bekerja sebagai pemandu Grab sepenuh masa sehingga hari ini dan pekerjaan tersebut turut membolehkan berjaya bertemu jodoh bersama isteri keduanya, Hayati Mohd Yusof, 48.
Sepanjang melakukan pekerjaan tersebut, dia berkata, pelbagai cabaran dihadapi termasuk berhadapan dengan pengguna yang mengambil kesempatan terhadap kekurangannya dengan tidak memberikan bayaran selepas menggunakan perkhidmatannya.
“Sebab kita macam ini, dia tinggalkan kita macam itu sahaja. Macam-macam cara dia gunakan seperti gunakan alasan nak ambil duit tapi lepas itu tidak muncul semula,” ujar Zainal.
Zainal bagaimanapun berkata, dugaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja memandangkan beliau perlu membantu menyara hidup keluarga bersama isterinya.
“Sebab saya rasa itu sahaja mata pencarian yang saya boleh buat setakat ini. Macam mana pun saya ada tanggungjawab rumahtangga dan masih ada anak yang masih belajar,” katanya yang tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya di Masjid Tanah, Melaka.
Dapat kahwin hasil rezeki penghantar Grab
Sementara itu, bagi seorang rakan penghantar Grab sepenuh masa, dari Shah Alam, Mohd Afie Ikmal Jamal, 32 berkata, dia bersyukur kerana pekerjaan tersebut amat membantu memastikan dia terus mempunyai pendapatan untuk menampung keluarganya selepas dibuang kerja ketika tempoh pandemik.
Dia yang sudah melakukan pekerjaan tersebut secara sambilan sejak 2018 semasa masih memiliki pekerjaan tetap sebelum itu, turut mengakui ia telah membantunya untuk mengumpul duit tambahan untuk belanja perkahwinan.
“Kalau nak harap gaji saya kerja ketika itu memang tidak cukup. Nasib baik ada peluang jadi penghantar Grab, dapatlah bantu untuk sediakan keperluan bagi berkahwin,” ujarnya yang sudah mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.
Sementara itu, Muhammad Asraf Farid Wajdee, 30, berkata, sebagai rakan pemandu sepenuh masa Grab, antara cabaran perlu dihadapi adalah keperluan untuk mencapai sasaran bagi memastikan pendapatan diperolehi mencukupi untuk perbelanjaan diri dan keluarga.
“Biasa sehari kalau nak pendapatan memuaskan perlu buat dalam 12 jam sehari. Kadang-kadang kalau macam saya nak capai sasaran betul-betul boleh sampai 16 jam,” ujarnya yang mempunyai seorang anak berusia lima tahun bersama bekas isterinya.
Kongsikan kisah penuh inspirasi dengan Grab Lejen
Setiap tahun Grab Malaysia akan memberikan penghormatan dan anugerah kepada pemandu dan juga penghantar mereka yang telah memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia.
Sejajar dengan ulangtahun ke-10 Grab, tahun ini pencarian untuk adiwira itu akan diserahkan kepada para pengguna Grab untuk mencalonkan dan berkongsi kisah tentang pemandu atau penghantar yang memberi memberi inspirasi kepada mereka serta mampu memanfaatkan orang lain.
Bermula 19 Julai hingga 30 September depan, pengguna Grab boleh menghantar kisah menyentuh hati pilihan mereka di https://grb.to/grablejen2022. Pengguna juga boleh mengundi ‘lejens’ pilihan mereka yang berjaya memikat hati rakyat Malaysia bermula pada 15 Oktober sehingga 15 November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!