Lelaki ancam, maki polis ditahan
KULAI - Tindakan seorang lelaki mengancam dan memaki hamun anggota polis mengundang padah apabila ditahan di rumahnya di Taman Senai Jaya, Senai, dekat sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, anggota dari Balai Polis Senai menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Senai Jaya pada jam 9.20 malam dan terserempak lelaki tersebut.
"Suspek yang merupakan warga tempatan menunggang motosikal secara melawan arus serta tidak memakai topi keledar dan terus memecut laju sehingga sampai di sebuah rumah di taman itu.
"Pihak polis kemudian meminta suspek mengeluarkan kad pengenalan untuk tindakan saman namun suspek enggan memberi kerjasama serta mengeluarkan kata-kata kesat malah mengancam anggota polis itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.
Hasil semakan katanya, suspek tidak memiliki rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah.
Menurut Beng Yeow, suspek direman tiga hari bermula Rabu selepas Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin membenarkan permohonan reman.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda penjara dua tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!