SWCorp kesan 496 titik panas banjir seluruh negara
KUALA LANGAT - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengenal pasti kira-kira 496 titik panas berlakunya banjir di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, data tersebut diperoleh berdasarkan insiden banjir yang berlaku pada tahun lalu.
Menurutnya, SWCorp yang sebelum ini memainkan peranan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir akan turut memulakan projek sebelum banjir melanda.
"Kita mempunyai 350 kakitangan di bawah SWCorp dan 1,200 orang di bawah syarikat konsesi yang akan terlibat dalam kerja pembersihan.
"SWCorp biasanya terlibat dalam pasca banjir. Tapi dalam masa sama, kita juga ambil pendekatan untuk laksanakan program sebelum banjir yang mana longkang-longkang sedia ada dibersihkan."
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program World Cleanup Day 2022 di Pantai Batu Laut di sini pada Rabu.
Program itu disertai oleh kira-kira 200 sukarelawan terdiri daripada pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan penduduk setempat.
Sebanyak 377 kilogram sampah berjaya dikutip di sepanjang Pantai Batu Laut di sini meliputi pelbagai jenis sisa seperti plastik, kertas, lampin pakai buang dan lain-lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!