TNB labur RM21 bilion dalam program Grid Masa Depan

TNB labur RM21 bilion dalam program Grid Masa Depan bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk tingkatkan ketersediaan dan kebolehpercayaan rangkaian penghantaran dan pembahagiannya.
TNB labur RM21 bilion dalam program Grid Masa Depan bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk tingkatkan ketersediaan dan kebolehpercayaan rangkaian penghantaran dan pembahagiannya.
A
A
A
TENAGA Nasional Bhd (TNB) sedang melabur sebanyak RM21 bilion dalam program Grid Masa Depan bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpercayaan rangkaian penghantaran dan pembahagiannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baharin Din berkata, di peringkat serantau, TNB secara proaktif mengenal pasti lokasi grid penghantaran yang akan meningkatkan integrasi pasaran selain akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan.

"Memandangkan masa yang diperlukan untuk merancang dan menyediakan infrastruktur kawal selia, kewangan serta fizikal yang dikehendaki, rantau ini mesti bertindak pantas untuk mempercepatkan usaha ini.

"Kita semua mesti memainkan peranan masing-masing dalam perjalanan kita bersama ke arah masa depan yang lebih hijau, saksama dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat-syarikat utiliti kuasa ASEAN perlu mempercepatkan kerjasama ke arah mencapai Grid Kuasa ASEAN (APG) yang saling hubung dalam menyokong matlamat bersama rantau ini untuk mencapai pelepasan sifar bersih apabila negara anggota beralih kepada tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan.

Baharin menegaskan bahawa grid yang saling hubung seperti APG adalah penting dalam membantu negara anggota ASEAN memanfaatkan sumber daripada negara jiran mereka semasa tempoh krisis serta menyediakan peluang untuk berdagang dan mengguna pakai penetapan harga sumber pada masa-masa lain.

Ketika utiliti-utiliti kuasa ASEAN mempercepatkan peralihan mereka kepada masa depan yang mampan, perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui akan merangsang aliran masuk tambahan pelaburan swasta ke ASEAN serta memacu inovasi dan pertumbuhan tenaga bersih di rantau ini, katanya.

Memetik kejayaan permulaan Projek Integrasi Tenaga Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS-PIP) tahun ini, Baharin berkata, beliau yakin syarikat kuasa ASEAN boleh berusaha ke arah merealisasikan APG.

"Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk mereka bentuk rangka kerja perdagangan kuasa yang diharapkan akan sepadan dengan struktur industri elektrik setiap negara dan menyediakan situasi yang menguntungkan semua," katanya.
Artikel Berkaitan:


Beliau menambah TNB, dalam pendekatan holistiknya terhadap peralihan tenaga yang bertanggungjawab, mengakui akan kepentingan hubungan ASEAN.

"Justeru, kami komited untuk mempercepatkan kemajuan APG,” tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!