Malaysia bawa masuk 10,000 pekerja dari Sri Lanka

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju membawa masuk 10,000 pekerja asing dari Sri Lanka dengan mengambil kira keadaan negara tersebut yang dilanda krisis ekonomi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 September lalu.

Menurutnya, kerajaan Sri Lanka sebelum ini mengemukakan permohonan rasmi untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 pekerja sebagai salah satu usaha untuk membantu negara berkenaan yang sedang berdepan krisis ekonomi terburuk.

“Saya menggesa pihak industri dan majikan untuk memberi sokongan kepada niat murni kerajaan ini dengan menggajikan pekerja warga asing dari Sri Lanka bagi mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor yang dibenarkan.

“Mana-mana majikan yang diberi kelulusan kuota dan telah menyelesaikan bayaran levi boleh merebut peluang ini. Sehingga 14 September 2022, bayaran levi telah dibuat bagi 416,634 permohonan pekerja warga asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Saravanan, bagi mana-mana majikan yang berminat, mereka boleh terus menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM (oscksm@mohr.gov.my) atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (jtksm@mohr.gov.my) untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!