Fenomena volkano lumpur bukan petanda letusan gunung berapi
KOTA KINABALU - Fenomena volkano lumpur atau letusan gunung berapi lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu pada Ahad lalu bukan petanda letusan gunung berapi akan berlaku dalam masa terdekat di negeri ini.
Menjelaskan perkara itu, dua Felo Penyelidikan Geologi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Hardianshah Saleh dan Profesor Dr Baba Musta berkata, ramai warga maya beranggapan fenomena itu berkait secara terus terhadap letusan gunung berapi yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
"Tidak kurang juga ada yang mengaitkan fenomena ini dengan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di beberapa rantau lain di luar negara.
"Malah istilah 'letusan gunung berapi lumpur' itu selalunya diberikan kepada fenomena volkano lumpur memberi konotasi yang menggerunkan, lebih-lebih lagi istilah 'gunung berapi' yang ada di dalam penamaan tersebut mampu memberikan rasa cemas kepada orang awam yang tidak mengetahui mekanisme pembentukan volkano lumpur," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, secara geologinya, volkano lumpur bukanlah fenomena yang sama dengan volkano atau letusan gunung berapi.
"Walaupun istilah 'volkano' secara terjemahannya adalah letusan gunung berapi, namun volkano lumpur ini jauh sekali daripada memuntahkan bahan cairan lava seperti letusan gunung berapi yang umum ketahui.
"Volkano lumpur hanya meminjam istilah volkano untuk menjelaskan mekanisme bahan lumpur yang dipaksa keluar daripada bawah tanah untuk keluar ke permukaan," katanya.
Jelas kenyataan itu, tekanan beban atas terhadap lapisan yang kaya dengan bahan lumpur yang terbentuk jauh di bawah permukaan tanah, menekan dan memaksa bahan lumpur dalam bentuk cecair bersama gas metana keluar ke permukaan menerusi sesar, retakan atau zon lemah pada batuan.
"Bagi kawasan Lahad Datu, zon sesar atau lemah ini terdiri daripada batuan hancur atau istilah geologinya dikenali sebagai melange.
"Fenomena ini juga sering dirujuk sebagai diapir lumpur (Mud diapir) yang mempunyai mekanisme sama, namun tidak memuntahkan lumpur sehingga ke permukaan," katanya.
Menurut kenyataan itu, volkano lumpur merupakan fenomena yang biasa berlaku di Sabah malah boleh ditemui di beberapa kawasan di Sabah.
"Namun apa yang lebih penting adalah fenomena volkano lumpur bukanlah suatu petanda bencana seperti letusan gunung berapi boleh berlaku pada masa terdekat," katanya.
Menurut dua felo berkenaan, penerangan secara jelas dan saintifik mengenai fenomena itu adalah sangat penting terutama dari Pusat Penyelidikan seperti NDRC agar tidak menimbulkan kebimbangan daripada pihak awam.
"Pusat Penyelidikan NDRC UMS memang giat dalam keterlibatsamaan dalam memberikan pendidikan awam termasuk bencana gempa bumi 2015.
"NDRC dilihat bukan setakat sebagai pusat rujukan untuk orang awam tetapi juga sebagai 'focal point' untuk penyelidikan yang berkaitan dengan sains alam sekitar dan bencana serta pengurusannya terutama di Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!