Cubaan seludup anak orang utan gagal

Paul (dua, kanan) menunjukkan anak orang utan yang berjaya diselamatkan dalam operasi intipan di Jeti Nelayan Parit Unas, Muar.
Paul (dua, kanan) menunjukkan anak orang utan yang berjaya diselamatkan dalam operasi intipan di Jeti Nelayan Parit Unas, Muar.
A
A
A

MUAR- Cubaan menyeludup sembilan ekor haiwan eksotik terlarang termasuk anak orang utan gagal apabila dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Muar.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata dalam kejadian malam tadi, pihaknya berjaya membanteras aktiviti penyeludupan membabitkan dua ekor orang utan, seekor musang albino dan enam ekor ungka.

Katanya, kesemua tangkapan itu dipercayai untuk dijual dalam pasaran gelap bagi tujuan latihan pertunjukkan serta haiwan peliharaan.

“Dalam operasi jam 8.00 malam tadi, PPM Muar diketuai Deputi Superintendan Nordin Osman telah mengadakan satu intipan berhubung aktiviti penyeludupan di Jeti Nelayan Parit Unas, di sini.

“Hasil operasi mendapati sindiket terdiri daripada tiga warga Indonesia termasuk seorang tekong berusia antara 23 hingga 40 tahun dikesan menyimpan empat buah kotak dalam sebuah bot.

“Setibanya di darat, kotak-kotak ini kemudiannya dimasukkan dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun,” katanya pada sidang media di Pangkalan PPM Wilayah 2 Muar yang turut dihadiri Ketua Perhilitan Daerah, Mohd Nafizan Mohd Radzi.

Menurut Paul, pihaknya kemudian bertindak menyerbu kenderaan itu namun pemandu Alza terus memecut laju bagi mengelak diberkas.

“Bagaimanapun kita berjaya menahan kenderaan itu dan hasil pemeriksaan berjaya menemui empat kotak berwana coklat diletakkan di bahagian tempat duduk belakang kereta.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua kotak mengandungi sembilan ekor haiwan berusia bawah dua tahun termasuk seekor orang utan yang masih menyusu berjaya diselamatkan untuk diserahkan kepada Jabatan Perhilitan,” katanya.

Menurutnya, haiwan eksotik yang masih kecil ini sememangnya mempunyai nilai pasaran tinggi iaitu boleh mencecah sehingga RM180,000 bagi seekor anak orang utan. Manakala musang albino dan ungka pula masing-masing bernilai RM5,000.

“Selain haiwan seludup, polis turut merampas sebuah sampan dan injin serta kereta Alza menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM483,000.

“Kesemua suspek kini direman selama 28 hari di bawah Akta Atipsom 2007, Seksyen 26A kerana menjalankan kegiatan penyeludupan,” katanya.

Selain itu, empat suspek itu turut disiasat mengikut Seksyen 69(1) Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 di bawah Jabatan Perhilitan yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi suspek warga Indonesia, mereka turut berdepan kesalahan Akta Imigresen Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 5(2) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tamat tempoh,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!