'Mazlina cuai, Ahmad Zahid minta pantau' - Saksi
KUALA LUMPUR - Pengarah Media Presiden UMNO memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Mejar Mazlina Mazlan@Ramly melakukan kecuaian ketika bertugas dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkannya untuk memantau.
Saksi pembelaan kedua itu, Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican berkata demikian ketika prosiding bela diri kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Fadzlette, 61, yang juga bekas Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid yang ketika itu selaku Timbalan Perdana Menteri berkata, Mazlina bertugas sebagai Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid melakukan kesilapan berhubung pengendalian akaun peribadi Ahmad Zahid.
“Saya tahu hal ini kerana Ahmad Zahid pernah memaklumkan perkara itu dan mengarahkan saya untuk memantau Mazlina, sebab pangkat saya yang lebih tinggi dalam angkatan tentera.
“Saya pernah meminta Mazlina supaya menunjukkan penyata kad kredit dan cek yang disediakan sebelum dibawa untuk ditandatangani oleh Ahmad Zahid, namun beliau sentiasa memberikan pelbagai alasan dan helah,” katanya.
Semasa membaca pernyataan saksi, Fadzlette berkata, perkara itu berterusan dan disebabkan tugasan rasmi yang lain, beliau terlepas pandang untuk memantau dan mengambil tindakan susulan ke atas Mazlina.
Selain itu, Fadzlette berkata beliau mengetahui kewujudan cop tandatangan Ahmad Zahid yang berada di dalam kawalan dan pegangan Mazlina Mazlan sepenuhnya.
Menurutnya, cop itu digunakan untuk urusan sijil-sijil dan kad-kad perayaan.
“Saya pernah membawa beberapa sijil penghargaan kepada Mazlina untuk ditandantangani menggunakan cop berkenaan.
Pada 25 Ogos 2020, Mazlina memberitahu mahkamah bahawa, Ahmad Zahid membenarkan cop tandatangannya digunakan pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran bil kad kredit peribadinya.
Bagaimanapun, semasa prosiding bela diri Mei lalu, Ahmad Zahid berkata, Mazlina telah menggunakan cop itu pada cek yayasan untuk membayar kad kredit persendirian miliknya dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis tanpa pengetahuannya.
Dalam pada itu, Fadzlette berkata, dalam institusi kenteraan, ‘ethos’ ketenteraan merupakan asas terpenting kerana ia mengajar anggota tentera untuk menjadi setia, berdisiplin, bermaruah dan boleh bekerja secara berpasukan.
Sepanjang pengalaman bertugas di bawah Ahmad Zahid, saksi ini berkata, Mazlina tidak pernah memaparkan elemen tersebut dan ini menurut Undang-undang Angkatan Tentera adalah ingkar perintah.
“Mazlina tidak pernah menghormati dan tidak mengikut arahan saya malahan tidak mempedulikan sebarang arahan yang diberikan walaupun ia adalah satu arahan melibatkan tugas rasmi.
“Ini kerana pada anggapannya, hanya Ahmad Zahid yang boleh memberikan arahan kepada beliau dan bukan individu-individu lain,” katanya.
Selain itu, Fadzlette berkata, Mazlina bekerja dan membuat keputusan secara bersendirian dan membelakangkan ethos ketenteraan.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!