El Salvador kini beralih kepada negara paling selamat
BOGOTA - Pesiden El Salvador, yang berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa, menekankan bahawa negaranya yang dikenali sebagai tempat paling berbahaya di dunia, sedang menuju menjadi negara paling selamat di benua Amerika.
Nayib Bukele berkata, negara itu sebelum ini terkenal kerana geng-geng (penjenayah), kematian, keganasan, perang, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami kini berubah kepada menjadi sebuah negara yang terkenal dengan pantai, gunung berapi, kebebasan kewangan dan kerajaan yang baik kerana telah menamatkan jenayah terancang," kata Bukele dalam ucapannya pada acara diplomatik di New York City.
Sejak beberapa dekad, sejarah El Salvador tercalar oleh keganasan geng, menyebabkan negara itu merekod kes bunuh diri dan kadar jenayah tertinggi di dunia.
Namun, sejak Bukele berkuasa, beliau bejaya menurunkan kadar pembunuhan di negara itu apabila memasukkan lebih 50,000 orang yang dipercayai ahli geng, ke penjara sejak Mac.
Tindakan itu membimbangkan kumpulan hak asasi manusia yang melihat langkah itu sebagai usaha untuk menyekat kebebasan individu.
Dalam ucapannya, Bukele turut meminta negara kuasa besar agar tidak campur tangan jika mereka tidak mahu membantu El Salvador mencapai kebebasan yang diperjuangkannya.
Beliau juga berpendapat format Perhimpunan Agung PBB sudah lapuk.
"Saya berdiri di podium ini dengan format yang tidak lagi saya percaya, bercakap sesuatu yang berkemungkinan besar tidak akan mengubah cara negara berkuasa melihat negara lain," katanya dalam ucapan selama 18 minit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!