Sukma 2022: Penamat manis Gabriel, Nazirul
PENERJUN Sabah, Gabriel Gilbert Daim meneruskan rentak terjunan cemerlang apabila meraih emas berganda di temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal lelaki perseorangan sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, penerjun berusia 21 tahun tersebut berhasil mengutip 390.30 mata menerusi terjunan cemerlang untuk menduduki tempat pertama.
Pingat perak menjadi milik Bertrand Rhodic dari Sarawak yang memperoleh 353.95 mata sementara pingat gangsa pula dirangkul Hanis Nazirul Jaya Surya wakil Wilayah Persekutuan yang meraih 348.60 mata.
“Sejujurnya ada juga rasa (Sukma kali ini) saingan sikit tapi saya cuma lakukan yang terbaik saja dalam terjunan tadi untuk diri sendiri.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan keenam-enam terjunan yang dilakukan, terutama sebab ini Sukma terakhir saya, saya seronok sebab dapat (yang dihajatkan).
“Ada juga beberapa terjunan yang macam ada kesilapan tadi, tapi saya rasa okay saja. Masa itu, mungkin saya rasa gemuruh sebab saya belum mahir lagi untuk buat yang terbaik. Lagipun semasa beraksi, ada macam macam perasaan kan,” katanya.
Mengulas mengenai perancangannya selepas Sukma, pemenang pingat perak acara 3m papan anjal seirama Sukan Komanwel 2022 itu akan menyertai Grand Prix FINA pada November depan yang juga bertempat di Bukit Jalil.
Bagaimanapun Gabriel mengakui masih belum meletakkan sasaran di kejohanan tersebut dan akan cuba mempamerkan aksi terbaik bagi menempatkan dirinya di kedudukan podium.
Dalam perkembangan lain, Nazirul berjaya menebus kekecewaan gagal meraih emas acara 3m apabila mengungguli acara 1m lelaki papan anjal selepas mengumpul 325.05 mata dalam enam terjunan.
Perak dimenangi atlet Sarawak, Bertrand Rhodict yang memperoleh 318.8 mata sementara pingat gangsa pula dirangkul Nurqayyum Nazmi dari Wilayah Persekutuan yang meraih 268.40 mata.
“Alhamdulillah saya berjaya meraih pingat emas pada penampilan terakhir saya di Sukma.
“Malah saya juga gembira kerana mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu. Ia juga mengubat kekecewaan dapat gangsa dalam acara 3 m papan anjal tadi,”ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!