Penghuni penjara dipantau, layanan ikut peraturan

Zulkifli (lima, kanan) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, dari Penjara Pokok Sena.
Zulkifli (lima, kanan) bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, dari Penjara Pokok Sena.
A
A
A

JITRA - Penghuni penjara dilayan tanpa merendahkan maruah, hak sama rata, dihormati, selain menyediakan keperluan asas untuk kehidupan sepanjang berada dalam tahanan.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, semua penghuni turut dipantau kesihatan dan dijaga dengan baik.

Menurutnya, ini termaktub dalam perundangan, peraturan penjara mahupun peraturan standard minimum untuk layanan banduan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau ‘The Mandela Rules’.

“Jabatan Penjara juga siap sedia untuk melaksanakan reformasi yang melibatkan penambahbaikan dalam aspek penahanan, pematuhan, standard layanan, pemulihan, latihan kakitangan, fasiliti koreksional serta re-integrasi,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Jabatan Penjara Malaysia Zon Utara 1, di Auditorium Institut Aminuddin Baki hari ini.

Jumaat lalu, portal Free Malaysia Today melaporkan dua tertuduh, Wai Foo Sing dan Chow Mun Fai, yang berada dalam tahanan sementara berdepan dakwaan menghina agama Islam di media sosial, mendakwa mereka diserang di penjara.

Foo Sing mendakwa dipukul di Penjara Sungai Buloh, tempat dia ditahan selepas gagal membayar wang jaminan.

Lelaki berusia 68 tahun itu mengaku tidak bersalah pada 27 Februari lalu terhadap dua tuduhan bawah Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia, atas dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW serta mohon dibicarakan.

Peguamnya, Gerald Lazarus memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa anak tertuduh membuat laporan polis berhubung serangan itu pada 15 Mac lalu dan mempunyai laporan perubatan mengesahkan kecederaannya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata Jabatan Penjara kini mengalami transformasi dari aspek penahanan, keselamatan mahupun pemulihan.

“Pemulihan bukan hanya bertumpu dalam tembok, tetapi diperluaskan dengan penglibatan masyarakat. Perubahan ini bukan mudah, ia perlu dikaji dan diteliti agar program yang dirancang dapat dilaksana sebaik mungkin dan memanfaatkan penghuni, kakitangan dan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, program pemulihan penghuni akan dipertingkatkan keberkesanannya dengan melatih lebih ramai tenaga pengajar, menambah kelas pembelajaran banduan selain memastikan kesesuaian program pemulihan berdasarkan tempoh pemenjaraan pesalah.

“Ini termasuk mempertingkatkan profesionalisme kakitangan menerusi pembelajaran berterusan, pengkhususan koreksional serta usaha berterusan bagi meningkatkan skim gaji dan elaun pegawai dan kakitangan penjara agar setaraf dengan agensi beruniform lain,” katanya.

Zulkifli berkata, program pemulihan dalam komuniti juga diperkasa bagi membolehkan penghuni menyesuaikan diri lebih awal bersama masyarakat bagi memudahkan mereka kembali berperanan sebagai insan berguna.

“Program pemulihan luar penjara bersama komuniti seperti sistem parol, perintah kehadiran wajib dan program re-integrasi penghuni perlu diperluaskan sebagai program alternatif yang secara tidak langsung mengatasi masalah kesesakan dalam penjara,” katanya.

Menurutnya, seramai 39,000 banduan telah menerima manfaat program pemulihan luar tembok penjara dan kadar residivis atau kadar kemasukan semula bekas banduan ke penjara bawah 0.5 peratus.

“Program yang melibatkan kerjasama swasta menerusi Corporate Smart Intership (CSI) bagi orang diparol (ODP) beri impak besar terhadap pemulihan ODP. Terdapat 44 syarikat swasta di 12 buah negeri melibatkan 2,005 ODP mengikuti program CSI sejak 2016,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!