Thailand lulus lanjut tempoh visa rangsang ketibaan pelancong

Thailand sasar ketibaan sekurang-kurangnya 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini dengan 1.5 juta pelancong asing dari Oktober hingga Disember. - Foto 123RF
Thailand sasar ketibaan sekurang-kurangnya 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini dengan 1.5 juta pelancong asing dari Oktober hingga Disember. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Dalam usaha meningkatkan jumlah ketibaan pelancong pada kemuncak musim pelancongan, bermula 1 Oktober, pelancong dari 64 negara dan wilayah dalam senarai pengecualian visa termasuk Malaysia boleh tinggal di Thailand sehingga 45 hari berbanding tempoh semasa 30 hari.

Kabinet Thailand pada Selasa juga meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh visa semasa ketibaan yang terpakai kepada warganegara dari 19 negara termasuk India, Arab Saudi dan China daripada 15 hari kepada 30 hari.

Selain itu, pelawat dari negara atau wilayah masuk tanpa visa di bawah perjanjian dua hala tertentu akan dapat tinggal lebih lama daripada 30 hari kepada 45 hari.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Traisuree Taisaranakul berkata, lanjutan sementara itu akan berkuat kuasa dari 1 Oktober hingga 31 Mac tahun depan.

"Kelulusan itu dibuat bertujuan merancakkan lagi industri pelancongan negara dan merangsang pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Thailand menyasarkan ketibaan sekurang-kurangnya 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini dengan 1.5 juta pelancong asing dari Oktober hingga Disember.

Sementara itu, ia turut bercadang mengeluarkan Covid-19 daripada senarai penyakit terlarang untuk warga asing yang masuk ke negara itu.

Timbalan jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata, kabinet meluluskan notis kementerian yang mengecualikan Covid-19 daripada senarai penyakit terlarang untuk pelawat dan penduduk asing yang memohon visa dan permit menetap di bawah Akta Imigresen.

Artikel Berkaitan:

"Ia akan berkuat kuasa sebaik sahaja disiarkan dalam Warta Diraja," katanya dalam satu kenyataan.

Rakyat asing yang memasuki negara itu mestilah bebas daripada penyakit kusta, batuk kering, untut, ketagihan dadah, alkoholisme dan sifilis tahap ketiga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!