Banjir Pakistan: Perancis anjur persidangan antarabangsa


Emmanuel Macron berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 di New York pada Rabu. - Foto AFP
Emmanuel Macron berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 di New York pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Perancis yang memberi jaminan kepada Pakistan untuk membantu memulihkan ekonomi dan pembangunan semula negara itu yang teruk dilanda banjir, akan menganjurkan persidangan kewangan dan pembangunan antarabangsa tahun ini bagi tujuan itu.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan antara Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, Macron berkata, Paris akan membantu negara Asia Selatan itu yang berhadapan masa sukar ini.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menggerakkan sokongan antarabangsa bagi membantu memulihkan dan membina semula ekonomi Pakistan secara mampan selepas banjir buruk di negara itu, yang ada kaitan dengan perubahan iklim,” lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan itu.

"Bagi mengumpul rakan kongsi kewangan dan rakan pembangunan antarabangsa, Perancis akan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa sebelum akhir tahun ini dengan matlamat untuk menyumbang kepada pemulihan dan pembinaan semula kawasan yang terjejas banjir, membiayai pembinaan berdaya tahan di kawasan terjejas serta menyegerakan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Sharif juga berterima kasih kepada Macron atas sokongan negaranya kepada status GSP+ (Generalised System of Preferences-Plus) dengan Kesatuan Eropah (EU), dengan mengatakan ia membantu meningkatkan dagangan dengan negara EU.

Sharif juga bertemu dengan Presiden Iran Seyed Ebrahim Raisi, Canselor Austria Karl Nehammer, Presiden Sepanyol Pedro Sanchez, dan Duta Khas Amerika Syarikat bagi Perubahan Iklim John Kerry. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!