Khazanah teroka potensi pelaburan baharu di Asia Tenggara

Khazanah menyasarkan untuk meneroka potensi pelaburan baharu di Asia Tenggara dan India.
Khazanah menyasarkan untuk meneroka potensi pelaburan baharu di Asia Tenggara dan India.
A
A
A

KHAZANAH Nasional Bhd menyasarkan untuk meneroka potensi pelaburan baharu di Asia Tenggara dan India.

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, dana kekayaan berdaulat negara itu sedang mencari waktu yang sesuai untuk melabur serta mencari peluang untuk memanfaatkan penyertaan dan rangkaian globalnya.

"Kami melihat kepada peruntukan aset strategik; ia hanyalah persoalan masa, serta bila dan di mana kami sebenarnya melihat pasaran.

"Jadi kami melihat Asia Tenggara dan India dahulu," katanya semasa webinar MIDF Conversations pada Rabu.

Bulan lepas, media melaporkan bahawa Khazanah sedang berbincang dengan firma perkhidmatan auto India GoMechanic untuk menerajui pusingan pelaburan AS$100 juta (RM446.83 juta).

Amirul Feisal berkata, Amerika Syarikat (AS), negara Eropah serta China bukanlah destinasi pelaburan strategik buat masa ini, kerana beberapa ekonomi ini goyah dan China berada dalam perintah berkurung yang berterusan.

Bagaimanapun, katanya, bukan mudah untuk melabur pada tahun ini berikutan penurunan ringgit berbanding dolar AS.

Ringgit jatuh ke paras terendah sepanjang masa baharu pada 4.5640/5680 berbanding dolar AS pada pembukaan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Ia tidak dapat dielakkan, apabila kita melihat kenaikan kadar berlaku hari ini, ekonomi pelbagai negara akan terjejas," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Khazanah menyasarkan untuk memacu dan memangkin bidang pertumbuhan baharu bagi menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan dan berdaya saing melalui Dana Impak, dana komitmen RM6 bilion untuk sektor pemangkin.

"Kami bercakap tentang membina daya tahan negara, serta memacu bidang pertumbuhan baharu, (sesuatu) yang memberi keuntungan berganda dengan impak kewangan dan masyarakat. Itu yang kami sedang usahakan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!