Lima individu direman buat tuntutan palsu lebih RM27 juta
KUALA LUMPUR – Seramai lima individu termasuk seorang wanita direman selama tiga hari bermula Rabu oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu untuk program latihan teknologi digital berjumlah lebih RM27 juta.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kelima-lima suspek yang berusia 37 hingga 50 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 8.30 malam Selasa selepas memberi keterangan.
"Mereka disiasat berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bagi program latihan berkaitan teknologi digital kepada sebuah agensi kerajaan sedangkan latihan berkenaan tidak dilaksanakan.
"Kes itu dipercayai melibatkan dua syarikat yang telah dibayar tuntutan masing-masing berjumlah RM19,599,682 dan RM7,581,878 bagi program latihan pada 2016 hingga 2020," kata sumber.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi media mengesahkan penahanan kesemua suspek.
Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!