300 koperasi akan guna sistem BA100 bermula Mei: Angkasa
SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) telah mengenal pasti kira-kira 300 koperasi di sekitar Lembah Klang yang akan melaksanakan program Barang Asas 100 (BA 100) bermula bulan depan.
Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata sistem BA 100 membolehkan koperasi membeli terus daripada pengeluar tanpa melibatkan orang tengah, sekali gus merendahkan harga yang dijangka antara 10 dan 20 peratus berbanding pasaran biasa.
‘’...dan apabila kita juga menjual dengan harga rendah kepada pengguna, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Anggota Lembaga Koperasi Negeri Selangor di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Angkasa Selangor Datuk Mohd Alias Hamzah.
Menurut Abdul Fattah, BA 100 yang membabitkan barang keperluan asas seperti minyak masak dan gula akan diperluas ke seluruh negara negara secara berperingkat.
BA 100 melalui proses percubaan pada bulan lepas dan akan dilancarkan secara rasmi awal Mei ini. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!