SADA perlu ditransformasi segera selesai isu bekalan air

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu dilakukan transformasi segera dengan beberapa penambahbaikan agar terus relevan.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia susulan pengendali perkhidmatan air bersih dan terawat ini masih gagal menyelesaikan masalah bekalan air dan berada di takuk lama.

Menurutnya, masalah air di daerah Kuala Muda, Pendang, Kuala Kedah dan Kulim Bandar Bharu sehingga kini tidak menunjukkan petanda akan berakhir, malah keadaan semakin menekan penduduk yang berterusan berdepan krisis air.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya lebih tegas dan memandang serius masalah rakyat ini dengan mengarahkan SADA agar lebih prihatin dan cekap, bukannya berterusan mempertahankan kelemahan SADA," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau berkata, BN Kedah menyarankan beberapa cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri bagi memulihkan status SADA yang dilihat semakin 'suram'.

"Langkah pertama ialah transformasikan SADA dengan menukar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA. Kakitangan yang gagal pamerkan prestasi terbaik harus dikeluarkan termasuk pegawai tertinggi dan pasukan pengurusannya.

"Sekiranya SADA diketuai oleh individu yang tidak cekap, gagal menyelesaikan masalah, Menteri Besar perlu tegas gantikan dengan individu lebih profesional dan layak yang berupaya membawa perubahan," katanya.

Menurutnya, komposisi Ahli Lembaga Pengarah perlu dirombak dengan saranan kuota 30 peratus kepada golongan profesional dan pemain industri.

Artikel Berkaitan:

"Ahli Lembaga Pengarah dari latar belakang politik mesti dikurangkan, sebaliknya diisi dengan individu yang mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan air dan prihatin dengan isu rakyat, bukan kalangan yang menjadikan SADA sebagai sumber pendapatan pasif," ujarnya.

Shaiful Hazizy turut mencadangkan agar dilakukan audit dan semakan akaun yang bebas, tegas dan berkala ke atas entiti tersebut.

"Sebagai entiti penting yang menguruskan keperluan asas rakyat, SADA mesti ditadbir secara cekap. Strukturnya mesti disemak semula termasuk strategi dan pendekatan diperkemas dan diperbaharui.

"Tahap air tidak berhasil (NRW) mesti dikaji semula. Laporan dan dapatan audit bebas ini harus dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahaskan oleh semua wakil rakyat," ujarnya lagi.

Menurutnya, sekiranya SADA tidak berupaya mengendalikan pengurusan air dengan baik dan masih enggan melakukan perubahan yang sewajarnya, adalah tidak keterlaluan untuk menggantikan entiti tersebut.

"Antara alternatif, gantikan SADA dengan entiti lain yang lebih berkelayakan. Opsyen lain seperti membuka sektor perkhidmatan air di Kedah agar lebih kompetitif atau selaku jalan akhir, pulangkan pengurusan air negeri kepada kerajaan Pusat," katanya.

Shaiful Hazizy juga berharap status terkini projek baik pulih bekalan air di Kedah didedahkan kepada umum.

"Pelan tindakan dan status semasa semua projek bekalan air harus dikongsikan dengan rakyat. Rakyat tidak dimaklumkan perkembangan dan kemajuannya.

"Kesejahteraan rakyat mesti dijadikan panduan penting dalam segala keputusan dan pelan kerajaan negeri," tambahnya lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu melaksanakan program pemodenan infrastruktur air secara besar-besaran.

"Pembiayaan dan sumber kewangan boleh dilakukan dengan pelbagai cara, terdapat sekurang-kurangnya lima saluran pembiayaan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

"Ini termasuk penerbitan bon khas yang dijamin oleh kerajaan negeri, sumbangan khas kerajaan Persekutuan, kerjasama kerajaan dan swasta, sumbangan wakaf dan infak serta permohonan dana dalam negara mahupun antarabangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!