[VIDEO] Sultan Nazrin perkasa usaha perangi rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perkenan yang diterima Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melancarkan buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika terbitan EMIR Research akan memperkasakan lagi usaha memerangi rasuah di negara ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, ia menunjukkan keseriusan dan perhatian yang diberikan baginda dalam memerangi rasuah dari akar umbi.

"Sebagai anak jati Perak, saya amat berbesar hati kerana Sultan Perak memandang serius masalah rasuah dan melihat usaha memeranginya sangat penting bagi memastikan hak dan peluang rakyat tidak dirampas.

"Ini adalah fakta yang didokumentasikan dengan baik bahawa rasuah memiskinkan negara dan rakyat, merampas kesejahteraan dan merompak masa depan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff
Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff

Sultan Nazrin dijadualkan mencemar duli melancarkan buku hasil karya tokoh pemikir Islam, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di Kumpulan Karangkraf pada jam 10 pagi Khamis.

Justeru, Rais menegaskan, pelancaran itu menjadi detik bersejarah dan semua rakyat negara ini perlu bersama-sama memerangi rasuah ke arah membina semula Malaysia yang bersih.

Sementara itu, ditanya tentang keadaan rasuah di negara ini ketika ini, Rais menjelaskan, malangnya rasuah di Malaysia telah dinormalisasikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika dahulu ia menjadi masalah namun kini rasuah telah menjadi sebahagian daripada kehidupan atau fenomena di mana Mohd Kamal secara ringkasnya telah ditakrifkan dalam bukunya sebagai 'hilang rasa malu'.

"Kini terdapat data yang tersedia untuk menganggarkan skala rasuah di Malaysia tetapi kita juga boleh mencari beberapa titik rujukan tepat pada masanya untuk membina semula arah aliran dan anggaran.

"Sebagai contoh, di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laporan Program Transformasi Kerajaan pada 2010, mereka menganggarkan bahawa rasuah menyebabkan kerugian tahunan kira-kira 1 hingga 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," ujarnya.

Menurutnya, Transparency International Malaysia (TI-M) pula menganggarkan angka yang berbeza iaitu 3 hingga 4 peratus dari KDNK.

"Andainya kita mengambil titik rujukan ini dan menganggap bahawa terdapat peningkatan linear dalam rasuah dari semasa ke semasa (dan mengambil anggaran yang lebih rendah) maka dalam tempoh tersebut, katakan dari 2000 hingga hari ini jumlah kerugian akibat rasuah akan berjumlah dua per tiga daripada satu trilion ringgit Malaysia berdasarkan angka KDNK yang diketahui selama ini," tegas beliau.

Bagaimanapun, Rais menjelaskan, disebabkan anggaran yang digunakan rendah, maka angka sebenar kerugian itu juga dianggarkan boleh mencapai trilion ringgit.

Katanya, salah satu artikel terbaru EMIR Research telah mengumpulkan semua skandal besar yang dilaporkan secara terbuka di Malaysia dari tahun 2000 hingga sekarang yang jumlah kerugiannya dianggarkan mencecah RM200 bilion.

"Seperti yang anda lihat, ini hanyalah ibarat bongkah ais (di dalam laut) kerana ada banyak lagi kerugian akibat rasuah dan ketirisan yang masih belum ditemui dan didedahkan," katanya.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!