Tutup kebun Kuala Terla demi kepentingan rakyat

Wan Azizah menyempurnakan gimik perasmian Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Malaysia di PUO, Ipoh, hari ini.
Wan Azizah menyempurnakan gimik perasmian Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Malaysia di PUO, Ipoh, hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Keputusan kerajaan Pahang menutup 11 kebun milik petani kecil di Kuala Terla, Cameron Highlands dibuat selepas mengambil kira semua aspek, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ia termasuklah kesan penerokaan yang dibuat yang berkemungkinan memberi kesan terhadap alam sekitar seperti berlakunya tanah runtuh.

"Semua langkah dan tindakan telah kita ambil kira, tambahan pula ini masalah lama. Meskipun kita nak tolong pekebun-pekebun ini, mereka juga mesti tahu bahawa penerokaan yang bagaimana telah dilakukan.

"Apakah ia menjaga alam sekitar atau adakah mendatangkan bahaya sekiranya terjadi tanah runtuh," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan penguatkuasaan dikenakan kerajaan Pahang dengan menutup 11 kebun milik petani kecil Kuala Terla, bulan lalu.

Tindakan itu dibuat kerajaan untuk menjamin kesinambungan bekalan air terawat bagi keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

Aktiviti kebun-kebun itu dikatakan mencemari Sungai Terla yang menjadi penyumbang sumber air mentah untuk diproses menjadi air terawat.

Penutupan itu bagaimanapun menerima bantahan penduduk yang mendakwa kehilangan punca pendapatan selain perlu menanggung bayaran balik pinjaman institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands berkata, dalam hal ini, kerajaan mengambil langkah terbaik yang menjaga kepentingan semua pihak terutama rakyat.

"Semua tindakan yang kita ambil itu, kembali semula untuk kepentingan rakyat," katanya.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik Malaysia di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!