Zahid minta Muhyiddin cermin diri

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Ahmad Zahid di laman Facebook.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Ahmad Zahid di laman Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya 'cermin diri' sebelum menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di platform media sosial.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sedangkan negara berdepan kegagalan teruk semasa beliau (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Ujarnya lagi, seramai 10,317 individu diisytihar muflis mulai Mac 2020 dan sebanyak 37,415 perniagaan 'gulung tikar' berikutan terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Proses pemulihan ekonomi negara pascapandemik malah berjalan pada kadar yang perlahan semasa negara mempunyai sebuah badan yang diketuai beliau untuk memulihkan negara.

"Malaysia juga tidak boleh meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan negara kerana kerosakan ekonomi telah pun bermula seawal mereka memenangi PRU-14.

"Ironinya, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), merangkap Pengerusi PN juga merupakan sebahagian anggota Kabinet Kerajaan PH ketika itu. Apakah individu yang pernah gagal berkali-kali layak menuduh individu lain sebagai gagal juga?" katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Rabu.

Ahmad Zahid menambah tindakan Pengerusi MPN 'menyerang' Perdana Menteri di platform media sosial membuktikan sebuah ketidakstabilan.

"Ketidakstabilan ini yang menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Ketidakstabilan itu yang memperjudikan nasib serta masa depan rakyat dan negara ekoran tiada kebersamaan dalam kalangan pembuat dasar.

"Pentadbiran kerajaan saling tuduh-menuduh memberi gambaran negatif kepada pelabur sekali gus menyukarkan usaha negara bangkit daripada kemusnahan pandemik," jelasnya.

Justeru, beliau berkata, rakyat seharusnya semakin boleh menilai tentang kebenaran yang dibangkitkan UMNO mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan.

"Ia amat mustahak direalisasikan segera kerana sebuah kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mendepani risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan.

"Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini tidak menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku pada tahun 2023.

"Prospek ekonomi global malah dilaporkan telah “menjadi gelap dengan ketara” sehingga mendorong unjuran pertumbuhan ekonomi global diturunkan pada 3.6 peratus.

"Dengan demikian Malaysia perlu berada pada kedudukan paling kukuh dan stabil termasuk dalam aspek tadbir urus bagi membentengi negara daripada risiko tersebut," ujarnya.

Jelas beliau, kemelesetan ekonomi global jika terjadi dan gagal diuruskan dengan berkesan boleh mengundang implikasi besar kepada kemaslahatan rakyat keseluruhannya.

Ujarnya lagi, tindakan Pengerusi PN menyerang Perdana Menteri juga berbaur sabotaj terhadap kerajaan campuran Keluarga Malaysia.

"Sebagai Pengerusi MPN, beliau sepatutnya tahu kenyataan negatifnya akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia.

"Bagaimana pelabur asing boleh menyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila Pengerusi MPN menyatakan yang buruk tentang kerajaannya sendiri," soal Zahid.

-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!