Melaka United mohon maaf
MELAKA United FC akur pembatalan slot Piala Malaysia 2022 berikutan isu pembayaran gaji tertunggak dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu.
Namun di sebalik itu, skuad Hang Tuah tersebut masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi pada ketika ini.
“Melaka United percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak berkepentingan bersama-sama membantu dalam memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang akhirnya menjamin kelestarian kelab,” kata kelab tersebut dalam satu kenyataan pada Rabu.
“Proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana dari pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu dan keutamaan diberikan untuk Melaka United kekal berada di Liga Malaysia (Liga M) 2023.
“Kelab dengan ini memohon maaf kepada semua para pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij bola sepak negara iaitu Piala Malaysia musim ini serta para penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini,” katanya.
Pada masa sama pihak pengurusan Melaka United mengambil iktibar daripada isu ini dan akan terus memandang ke hadapan bagi memastikan skuad Hang Tuah memperoleh lesen bagi menyertai Liga-M 2023.
Melaka United sebelum ini tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.
MFL memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan itu berikutan kelab berkenaan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!