Turunkan berat 9kg dua minggu, rangkul emas Sukma MSN 2022
UNTUK menurunkan berat badan hampir 10 kilogram (kg) dalam sekelip mata mungkin sesuatu perkara yang mustahil bagi kebanyakan orang, tetapi tidak bagi para atlet khususnya jaguh Muay Thai negara, Mohammad Rifdean Masdor.
Atlet berusia 20 tahun itu mendedahkan beliau berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 9kg hanya dalam tempoh dua minggu sebelum memenangi pingat emas kategori 48kg lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada Rabu.
Berkongsi rahsia kejayaan menghilangkan berat sebanyak itu, Mohammad Rifdean berkata selain tidur yang cukup dan menjaga pengambilan makanan, beliau juga berjoging sejauh 20 kilometer (km) sehari.
"Tiada masalah (turunkan berat) daripada 57 kg kepada 48 kg, kita kena rajin, pagi petang siang malam kadang-kadang sampai tiga kali sehari saya joging.
"Sebelah pagi buat 10km, petang 5km dan rehat sekejap sebelum sambung lagi 5 km. Sebelum tidur pun joging dan semuanya dibuat dalam bulan ini sebelum Sukma," kata atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu selepas majlis penyampaian pingat.
Pada aksi final kategori 48kg lelaki yang berlangsung di South City Plaza di Seri Kembangan di sini, Mohammad Rifdean yang mewakili Perak menewaskan atlet Pulau Pinang, Mohd Shahdam Abdul Aziz yang terpaksa berpuas hati merangkul perak.
Pemenang gangsa bersama pula menjadi milik atlet Kedah Muhammad Firdaus Che Halim dan Tengku Muhamad Adam Fakruzie Tengku Mohamad dari Terengganu.
"Saya gembira dapat mengulangi pencapaian emas saya pada 2018 di Sukma Perak dalam kategori 45kg, kejayaan ini sangat penting sebab saya nak jaga nama sebagai atlet kebangsaan, jadi perlulah mempertahankan status saya," kata Mohammad Rifdean.
Sebagai rekod, Mohammad Rifdean pernah memenangi emas 45kg lelaki Sukan SEA 2019 di Filipina dan emas kategori bawah 23 elit lelaki pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 di Bangkok, Thailand.
Pada Sukan SEA edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei lepas, Mohammad Rifdean menyumbang gangsa dalam sukan kickboxing kategori full contact bawah 51kg lelaki selepas Muay Thai tidak dipertandingkan.
Seterusnya, beliau berazam mencipta kejayaan membanggakan pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan Muay Thai dijangka menjadi sebahagian acara sukan yang akan dipertandingkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!