Kontroversi pengebumian negara Shinzo Abe
TOKYO - Pengebumian negara yang didedikasikan khas untuk bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang maut ditembak ketika berkempen pada Julai lalu telah mencetuskan kontroversi dan bantahan secara meluas sejak ia rancangan itu diumumkan kerajaan.
Upacara yang dijadualkan pada Selasa depan menjadi isu hangat yang diperkatakan umum secara tiba-tiba.
Protes itu mencapai kemuncak apabila seorang lelaki nekad membakar dirinya berhampiran pejabat Perdana Menteri untuk menzahirkan bantahan mewakili sebahagian besar rakyat negara itu kira-kira seminggu sebelum upacara tersebut berlangsung.
Media tempatan melaporkan sekeping nota turut ditemui berdekatan mangsa yang jelas menyatakan tentangan terhadap upacara di Nippon Budokan tersebut yang didakwa menggunakan dana awam dan menelan kos yang agak tinggi iaitu dianggarkan berjumlah 1.7 bilion yen (RM54 juta).
Difahamkan, upacara pengebumian negara jarang dilakukan di negara itu malah keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan separuh daripada orang awam menolak rancangan tersebut.
Bagaimanapun, penggantinya, Fumio Kishida tetap mempertahankan keputusan tersebut kerana berpendapat Abe yang berhak menerima 'keistimewaan' itu atas jasa dan sumbangannya memandangkan beliau adalah Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara berkenaan.
Pendirian Kishida telah memakan dirinya sendiri apabila tahap popularitinya mula merudum kerana keputusan tersebut selain terpalit kontroversi hubungan politik dengan Gereja Penyatuan yang menjadi tumpuan utama setelah insiden pembunuhan Abe.
Abe sebenarnya tidaklah sebegitu popular seperti sangkaan orang ramai kerana banyak pihak menentang pandangan nasionalis beliau malah pemimpin itu dikatakan terlibat dengan kronisme.
“Beliau dianggap sebagai 'musuh' oleh segelintir pihak di Jepun. Seteru politiknya cuba menggunakan upacara pengebumian negara tersebut untuk menggerakkan agenda mereka,” kata Profesor Psikologi Politik, Kazuhisa Kawakami di Reitaku University.
Tetsuya Yamagami iaitu suspek yang menembak Abe didakwa melakukan tindakan nekad itu angkara dendam kerana mendakwa keluarganya menjadi muflis selepas menyalurkan sejumlah besar wang kepada gereja berkenaan.
Gereja tersebut yang dianggotai 'moonies' sempena nama pengasasnya dari Korea, Sun Myung Moon didakwa sering memberi tekanan kepada pengikutnya untuk memberi derma secara berterusan.
Walaupun Abe bukan anggota gereja berkenaan, beliau dikatakan ada 'hubungan' dengan kumpulan berkaitan hingga mencetuskan tanda tanya tentang pertalian kumpulan agama itu dengan politik.
Siasatan dilakukan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Kishida akhirnya membongkar separuh daripada ahli Parlimen mempunyai hubungan dengan gereja tersebut.
Pengganti Abe itu cuba meredakan kemarahan orang ramai dengan memberi jaminan LDP akan memutuskan semua hubungan dengan gereja berkenaan dan menafikan sebarang salah laku.
Tidak puas hati
Keputusan Kishida turut mengundang bantahan pihak pembangkang yang mendakwa pemimpin itu telah melangkaui kuasanya dengan meluluskan upacara tersebut.
“Beliau mungkin berasa kabinet berhak membuat sebarang keputusan. Tidak ada sistem rasmi di Jepun yang mentakrifkan pengebumian negara. Benarlah seperti apa yang didakwa pembangkang, kerajaan sepatutnya mendapatkan kelulusan Parlimen selepas perkara itu dibahaskan,” kata Profesor Emeritus Politik Antarabangsa, Yoshinobu Yamamoto di University of Tokyo.
Menurutnya, upacara tersebut menjadi kontroversi atas dua sebab iaitu tentang keputusan melulu dibuat Kishida dan kaitan Gereja Penyatuan dengan LDP.
Pada mulanya, anggaran awal bajet upacara itu yang tidak termasuk kos keselamatan dan menjadi tuan rumah delegasi asing adalah berjumlah 250 juta yen (RM7.4 juta).
“Sejak dari awal, kerajaan tidak telus ketika mendedahkan anggaran kos tersebut walaupun menyedari banyak pihak tidak berpuas hati,” ujar Yamamoto.
Sehingga kini, Kishida gagal memberi sebarang jawapan jelas dan hanya menyatakan kerajaan tidak akan sesekali membatalkan upacara tersebut. - AFP
Info
Pengebumian negara pertama kali diadakan di Jepun adalah ketika upacara persemadian bekas Perdana Menteri ketika era pasca perang, Shigeru Yoshida pada 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!