UiTM Lions ungguli Terbuka Sabah

Barisan pemain dan pegawai pasukan wanita UiTM Lions meraikan kejayaan menjuarai Terbuka Sabah 2022.
Barisan pemain dan pegawai pasukan wanita UiTM Lions meraikan kejayaan menjuarai Terbuka Sabah 2022.
A
A
A

SKUAD bola baling wanita UiTM Lions meneruskan momentum positif apabila merangkul kejuaraan kedua di Kepulauan Borneo setelah menjuarai Terbuka Sabah 2022 baru-baru ini.

The Lions yang tampil ke bumi di bawah bayu dengan status juara Terbuka Sarawak sebelum itu, menewaskan CDV HC dalam perlawanan akhir di Kompleks Sukan Tun Adnan Yayasan Sabah.

Penjaga gol Lions, Nurnatasya Azmi muncul wira apabila menyelamatkan dua balingan penalti lawan dari Semenanjung yang diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan untuk kemenangan 4-2, selepas terikat 6-6 sepenuh masa perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Lions membawa pulang RM5,000, piala kejuaraan, medal, sijil dan hamper.

Sementara itu, hasrat untuk menyaksikan skuad bola baling lelaki Lions mengikuti jejak pasukan wanita tidak kesampaian apabila ditunjukkan jalan pulang lebih awal setelah kecundang 17-14 kepada MJ Galaxy yang dibarisi pemain kebangsaan dan import pada pusingan kedua.

Penyertaan skuad bola baling Lions dalam kejuaraan Terbuka Sabah 2022, lebih kepada memberikan pendedahan kepada para pemain perlawanan kompetitif.

"Ini juga antara usaha berterusan bagi memastikan pasukan UiTM bersedia menghadapi kejohanan antara universiti dan kejohanan kebangsaan lain. Penyertaan pasukan kali ini merupakan agenda pembangunan pasukan universiti dengan barisan pemain baharu," kata pengendali pasukan wanita dan lelaki Lions, Muhd Khairul Hafidzin Abdul Wahab

Barisan pemain dan pegawai pasukan wanita UiTM Lions meraikan kejayaan menjuarai Terbuka Sabah 2022.
Barisan pemain dan pegawai pasukan wanita UiTM Lions meraikan kejayaan menjuarai Terbuka Sabah 2022.

Artikel Berkaitan:

Muhd Khairul juga menegaskan pengorbanan para pemain ketika menjalani latihan semasa cuti semester juga menjadi pemangkin dan motivasi pasukan untuk beraksi cemerlang.

"Ya, saya akui biarpun pasukan lelaki pulang tangan kosong tanpa merangkul kejuaraan kali ini, namun prestasi pasukan amat memberangsangkan.

"Beberapa penambahbaikan akan dilakukan terhadap pasukan lelaki, dan saya percaya pasukan ini boleh lebih mencabar dalam kejuaraan lain pada masa depan," ujarnya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Nor Ashikin Hassan berterima kasih atas sokongan padu pengurusan UiTM, selain sumbangan kewangan daripada pihak persendirian dalam memacu semangat para pemain dalam mengharungi kejuaraan kali ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!