Sukarelawan banjir, hero tidak didendang
KOTA BHARU - Sukarelawan banjir, antara hero yang tidak didendang namun peranan mereka sangat penting ketika bencana itu menimpa negara.
Kesibukan bekerja bukan alasan mereka memandang sebelah mata kesukaran yang terpaksa dilalui anggota keselamatan dan sentiasa bersedia membantu bagi mengurangkan beban.
Beberapa sukarelawan yang ditemui sudah membuat persiapan mental dan fizikal bagi mengelakkan perkara yang dirancang ketika banjir berjalan lancar.
Mereka turut berkongsi pengalaman yang dilalui ketika berhadapan mangsa banjir selain usaha membantu memberikan keselesaan kepada golongan itu.
Bagi guru Sekolah Kebangsaan Othman Talib 2, Pasir Mas, Mohd Rosil Ismail memberitahu, dia terlibat sebagai sukarelawan secara tidak langsung selepas banjir besar pada tahun 2014.
"Niat saya hanya untuk membantu mangsa banjir yang ketika itu sangat memerlukan," katanya.
Katanya, ketika operasi membantu, mereka bergerak dalam kumpulan kecil menggunakan kenderaan pacuan empat roda di bawah Kelab Ranger Kelate.
Mohd Rosli yang kemudian memikirkan tidak rugi menjadi sukarelawan kerana banyak boleh dimanfaatkan untuk membantu kerajaan dan mereka yang memerlukan ketika bencana.
"Saya kemudian menyertai V@C Pa yang bernaung di bawah JKM Kelantan sehinggalah sekarang dan kini memegang jawatan sebagai Setiausaha V@C Kelantan," katanya.
Menurutnya, V@C Pasir Mas mempunyai 100 ahli dari zon Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Bagaimanapun, pertubuhan itu memerlukan banyak lagi sumbangan terutama untuk membeli bahan api bot bagi menjayakan hasrat membantu JKM.
"Terkini V@C Pasir Mas merancang mengumpul dana untuk mendirikan stesen Pemancar Ulang (Repeater) saluran radio amatur sebagai alat berkomunikasi dengan pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan bencana yang tiada liputan rangkaian telefon mudah alih," katanya.
Mohd Rosli berkata, sukarelawan banjir diberi kursus Pengurusan Bencana pada 24 hingga 26 Mei 2022 di Institut Kemajuan Desa (Infra) Bangi, Kajang.
Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan, Monsun Timur Laut bermula pertengahan November depan dan kerajaan kini sedang membuat persiapan kemungkinan bencana banjir besar.
Sementara itu, Suhaillawati Mohamed, 40, mengakui menyertai sukarelawan banjir kerana terkesan dengan mangsa bencana dan mereka yang mengalami kesempitan hidup.
Suhaillawati yang juga seorang guru berpegang kepada prinsip tidak mahu bersenang sendiri dan mahu berkongsi rezeki.
Katanya, cabaran sebagai seorang sukarelawan banjir ialah kekangan masa kerana terpaksa bijak membahagikan tugasan dan tugas sukarelawan.
"Alhamdulillah, saya mendapat sokongan suami, Wan Shuhairi Daud, 44, selain Guru Besar, Muhammad Abd Rahman yang tidak keberatan memberi pelepasan untuk saya bertugas membantu mangsa banjir.
Suhaillawati juga bernasib baik kerana kawasan kediamannya tidak pernah mengalami banjir dan itu memberi kelebihan memudahkannya memberi bantuan di PPS.
"Saya tidak berkira untuk menghantar anak kepada pengasuh dengan bayaran lebih masa kerana memikirkan ramai memerlukan pertolongan kami," katanya.
Ibu kepada lima anak berusia tiga hingga 16 tahun itu juga gembira kerana rakan-rakan sekerja memahami dan turut berkongsi keperluan mangsa banjir jika diminta.
Rakannya, Roslida Mohamed, 44, juga tidak betah berdiam diri jika berlaku banjir di kawasan itu.
Bagaimanapun, Roslida bertuah kerana suaminya, Mohd Azri Hassan, 51, tidak pernah mengeluh malah sentiasa membantu jika perlu.
Minatnya menjadi sukarelawan selepas membantu memasak kepada di sebuah PPS tahun lepas kerana tidak cukup kakitangan ketika itu.
"Kebetulan ketika itu, saya tidak sibuk dengan kerja dan ramai mangsa menanti untuk dibantu," katanya.
Berkongsi cabaran yang terpaksa dilalui ialah menghadapi karenah mangsa yang 'mangikut kepala sendiri termasuk tidak puas hati, banyak kritikan dan gagal mematuhi arahan.
Katanya, mereka perlu bersabar dengan setiap perkaravyang berlaku di PPS dan terus membantu bagi memastikan kelancaran dan mangsa dapat berlindung sementara banjir surut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!