Waris mangsa tragedi kuari dipanggil jalani ujian DNA
IPOH - Waris keluarga kepada dua mangsa yang tertimbus dalam tragedi runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Mac lalu akan dipanggil menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan identiti.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, proses berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik semua cebisan tulang dan rangka kedua-dua mangsa dibawa keluar dari lokasi runtuhan.
"Setakat ini waris belum hadir untuk berikan sampel, tetapi kita akan panggil mereka sebaik proses membawa keluar semua rangka selesai," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi pada Selasa dan Rabu telah menemukan dua cebisan rangka manusia dipercayai milik kedua-dua mangsa.
Menurutnya, semua hasil penemuan itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan ujian DNA.
"Operasi pada Rabu telah berjaya menemui cebisan tulang manusia, stoking dan kasut dipercayai milik mangsa kedua.
"Kesemua itu ditemukan dari serpihan jentera yang masih tertimbus di bawah timbunan batu," katanya.
Mohd Yusri berkata, operasi pencarian baki rangka mangsa kedua diteruskan pada pagi Khamis yang dipercayai masih terperangkap dalam bangkai jentera berkenaan.
Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
Pada Selasa, pasukan mencari dan menyelamat menemui cebisan tulang dan rangka manusia bersama serpihan baju dan jengkaut di lokasi berkenaan, milik seorang daripada mangsa runtuhan.
Sebahagian rangka mangsa kedua tragedi runtuhan itu pula berjaya ditemukan pada Rabu sekitar jam 12 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!