Perak SADC sedia RM306 juta perkukuh sekuriti makanan
IPOH - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) memperuntukan RM306 juta tahun hadapan bagi memacu kelestarian sekuriti makanan yang menjadi agenda utama Perak Sejahtera 2030.
Dalam satu kenyataan, Perak SADC memaklumkan, peruntukan itu merangkumi dua segmen iaitu projek pelaburan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan itu, antara fokus peruntukan tersebut adalah melibatkan program-program sekuriti makanan dalam industri penternakan dan pembekalan lembu pedaging, ternakan ayam, penanaman durian, makanan haiwan ternakan serta pelaburan strategik industri sekuriti makanan dalam negeri dan negara.
"Manakala di bawah program CSR, antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi program Smart SBB Padi, Program Keusahawanan Perak SADC, Akademi Sekuriti Makanan serta Community Farming," katanya.
Kenyataan sama berkata, projek yang dijayakan bersama jabatan dan agensi kerajaan itu bukan sahaja untuk memenuhi keperluan makanan penduduk negeri, malah sejajar dengan hasrat Perak menjadi pembekal utama makanan negara.
"Sepertimana slogan yang sering diungkapkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk rakyat negeri ini 'tanam (ternak, pelihara) apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam (ternak, pelihara), selebihnya kita jual'," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!