Pusat mangsa ribut di Gombak ditutup
GOMBAK - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Asli Batu 12 di sini yang menempatkan mangsa ribut pada 28 Mac lalu ditutup secara rasmi hari ini.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gombak, sebanyak 23 keluarga ditempatkan di PPS tersebut, namun 12 daripadanya pulang ke rumah secara berperingkat.
"Jumlah terakhir sebelum PPS ditutup adalah sebanyak 15 keluarga. Daripada jumlah itu 10 daripadanya pulang ke rumah masing-masing.
"Lima lagi keluarga ditempatkan di inap desa Batu 12 sementara proses penempatan ke rumah kerajaan negeri selesai," katanya.
Kejadian hujan lebat dan ribut lalu menyebabkan sekurang-kurangnya lapan cedera dan seorang daripadanya kritikal selepas rumah mereka dihempap pokok.
Susulan kejadian tersebut Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menasihatkan penduduk yang tinggal atas rizab kerajaan dan tebing sungai untuk berpindah atas faktor keselamatan.
Ia juga bagi membolehkan kerajaan menjalankan projek pelebaran sungai dan jalan bagi mengelak kejadian lebih buruk melanda kawasan sama dan sekitarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!