Gerakan perangi rasuah perlu miliki semangat kental
SHAH ALAM - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah perlu memiliki semangat kental.
Titah baginda, dalam usaha melaksanakan perjuangan murni memerangi rasuah, yakinlah dan percayalah kepada kebesaran kuasa ALLAH.
"Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujian dengan hati yang cekal.
"Semaikan kesedaran dan bina kekuatan. Tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya.
"Para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah, hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi, kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim," titah baginda ketika melancarkan buku bertajuk 'Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Transformasi Moral-Etika'.
Sultan Nazrin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku tersebut.
Buku terbitan EMIR Research itu merupakan buah fikiran daripada tokoh akademik dan cendekiawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!