Dua bot Vietnam candat sotong ditahan

Seramai 12 nelayan Vietnam ditahan di perairan negara pada Selasa lalu.
Seramai 12 nelayan Vietnam ditahan di perairan negara pada Selasa lalu.
A
A
A

KUANTAN - Cubaan dua bot nelayan Vietnam mencandat sotong di perairan Pahang membawa padah apabila kedua-dua bot itu ditahan Jabatan Perikanan Malaysia pada Selasa.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan pada jarak 40.3 batu nautika dari Kuala Kuantan pada jam 9 pagi.

Menurutnya, lokasi mereka dikesan menggunakan Sistem Pemantauan Vesel Jabatan Perikanan (Enav) dan aduan daripada nelayan tempatan.

"Ketika serbuan itu dibuat mereka sedang beristirahat. Pemeriksaan mendapati mereka baru dua hari memasuki perairan negara dan melakukan aktiviti kail-mengail menggunakan candat sotong.

"Mereka berani membuat tangkapan kerana sotong di perairan negara mempunyai saiz besar dan mereka boleh menjual pada harga RM60 hingga RM80 sekilogram.

"Tambahan pula pada ketika ini nelayan tempatan kurang ke laut disebabkan keadaan ribut kuat dan mereka mengambil peluang untuk mencuri hasil di laut kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Pemantauan Vesel Penangkapan Ikan Asing Zon Timur Siri 1 (10/2022) di Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Pahang di Padang Lalang di sini, pada Khamis.

Wan Muhammad Aznan berkata, dua bot bersama 12 kru berusia antara 16 hingga 59 tahun telah ditahan dan hasil sotong dianggarkan lebih 20 kilogram dirampas.

Artikel Berkaitan:

Wan Muhammad Aznan menunjukkan dua bot yang ditahan pada Selasa.
Wan Muhammad Aznan menunjukkan dua bot yang ditahan pada Selasa.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan navigasi dan komunikasi dianggarkan berjumlah RM300,000.

"Kesemua 12 nelayan yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan Malaysia 1985 (Akta 317) kerana melakukan kesalahan memasuki dan melakukan penangkapan ikan di perairan Malaysia.

“Kesemua mereka direman selama 10 hari bermula Rabu dan akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai," ujar beliau.

Wan Muhammad Aznan berkata, Perikanan Malaysia memandang serius isu dan kesalahan yang melibatkan pencerobohan kedaulatan perairan dan melakukan kerosakan kepada sumber perikanan negara.

Justeru katanya, pemantauan, kawalan dan pengawasan akan terus dilakukan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara sentiasa terjaga.

"Kita juga memohon kerjasama daripada orang awam yang mengetahui sebarang salah laku berkaitan sumber perikanan negara yang melibatkan Akta Perikanan 1985.

"Orang ramai boleh menyalurkan aduan dan maklumat kepada pusat kawalan FISHCOM Putrajaya di talian 03-8870 4058 atau terus ke Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!