Lelaki Bangladesh mengaku tidak salah hasil pornografi kanak-kanak

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warganegara Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis di atas 12 pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Tertuduh, Zobaidul Amin, 24, yang merupakan pelajar perubatan di sebuah universiti swasta di ibu negara membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Berdasarkan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa mengarah atau menghasilkan suatu pembuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan perkhidmatan aplikasi Snapchat.

Bagi empat pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu mempunyai dalam milikan suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu sebanyak 740 imej digital di dalam telefon bimbit, pemacu USB dan cakera keras.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bukit Rasah di sini antara tarikh 26 Oktober 2021 sehingga 19 September lalu.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kesalahan dilakukan itu adalah serius.

Jelas Zahida, sekiranya ikat jamin diberikan, tertuduh dibimbangi akan meneruskan aktiviti mengarahkan penghasilan pornografi kanak-kanak dan mengganggu mangsa kanak-kanak secara dalam talian.

Peguam tertuduh, Harvindar Singh memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya itu kerana kesalahan di bawah akta berkenaan boleh diberikan jaminan.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Datin Surita Budin kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM96,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan dari dua orang penjamin dalam kalangan warganegara Malaysia.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan dan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain.

Mahkamah seterusnya menetapkan 30 November ini sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!