Empat kedai makan kotor di Kuala Krai diarah tutup

Kakitangan JKNK memeriksa tahap kebersihan di premis makanan pada Rabu.
Kakitangan JKNK memeriksa tahap kebersihan di premis makanan pada Rabu.
A
A
A

KUALA KRAI - Empat premis makanan diarah tutup manakala 72 lagi premis sama di lokasi tumpuan pelancong di daerah ini dikenakan kompaun kerana kotor dan tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tindakan diambil dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 09/2022 oleh 66 kakitangan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK pada Rabu.

Katanya, keseluruhan 64 premis makanan diperiksa dengan memberi keutamaan yang terletak di sekitar bandar Kuala Krai, kawasan peranginan Dabong, Jelawang, Kampung Laloh dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang yang menjadi tempat tumpuan orang ramai.

“Sebanyak empat premis diarahkan tutup maksimum selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai standard kebersihan yang ditetapkan.

“Selain itu, sebanyak 72 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Tindakan diambil oleh kakitangan apabila mendapati ada premis makanan tidak patuhi standard ditetapkan JKNK.
Tindakan diambil oleh kakitangan apabila mendapati ada premis makanan tidak patuhi standard ditetapkan JKNK.

Menurut beliau, daripada keseluruhan kompaun itu, 57 notis dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan 32(1)(b) iaitu kegagalan pengendali makanan memakai pakaian yang lengkap semasa mengendali makanan.

“Dua notis dikeluarkan mengikut Peraturan 33(1)(a) dan lapan notis mengikut Peraturan 33(1)(f) iaitu kesalahan berhubungan dengan kebersihan diri pengendali makanan.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak dua notis bagi kesalahan Peraturan 34 yang berhubung dengan kewajipan untuk mengekalkan premis makanan dalam keadaan bersih serta masing-masing satu notis kesalahan Peraturan 8(1)(c), kesalahan Peraturan 11(1)(c) iaitu kesalahan berkaitan kewajipan tuan punya atau penghuni premis makanan dan Peraturan 38(2) berkaitan hal penyimpanan makanan di premis makanan,” katanya.

Beliau menegaskan jabatan itu peka berkaitan isu keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini selain komited bagi memastikan tahap kebersihan premis dan penyediaan makanan mematuhi standard supaya selamat kepada pengguna.

“Pemilik premis makanan yang tidak mematuhi elemen-elemen kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan serta meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Pengusaha dinasihatkan agar mematuhi segala aspek berkaitan kebersihan agar dapat menjamin keselamatan makanan,” katanya.

Tambah beliau, jabatan itu menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di daerah Kuala Krai dan seluruh negeri Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih.

“Jabatan mengambil serius isu yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://jknkelantan.moh.gov.my/v3/ dan juga melalui facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan https://www.facebook.com/HealthofKelantan untuk maklumat lanjut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!