LTdL kekal status ProSeries
PERLUMBAAN jelajah berbasikal tertua Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) kekal berstatus ProSeries dalam kalendar perlumbaan 2023 hingga 2025.
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, ia adalah keputusan sebulat suara oleh ahli lembaga dalam mesyuarat membincangkan permohonan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk mengekalkan status LTdL sebagai ProSeries.
"Pada mesyuarat berkenaan, saya tekankan bahawa Le Tour de Langkawi satu daripada jelajah paling lama di Asia dan memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan berbasikal di rantau ini dan dunia.
"Justeru, ia adalah penting untuk mengekalkan status ProSeries,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amarjit berkata, keputusan mesyuarat yang diadakan di Wollongong, Australia pada Isnin hingga semalam, sudah pastinya menjadi khabar gembira buat kerajaan Malaysia, PKBM dan peminat sukan berbasikal negara.
PKBM telah memfailkan permohonan pada Julai untuk penilaian oleh UCI berhubung status ProSeries perlumbaan terbabit.
Status ProSeries diperkenalkan pada 2020 dan LTdL diberikan pengiktirafan untuk tempoh tiga tahun bermula 2020 hingga 2022.
Perlumbaan dinilai semula pada tahun ketiga untuk pentauliahan semula bagi tempoh tiga tahun berikutnya selepas penilaian pelbagai perimeter perlumbaan.
LTdL 2022 dijadual pada 11 hingga 18 Oktober, dengan enam pasukan Jelajah Dunia telah mengesahkan penyertaan iaitu UAE Team Emirates, Lotto Soudal, Movistar, Cofidis, EF Education-Easypost and Astana Qazaqstan Team. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!