Masa depan Mick Schumacher cetus tanda tanya
JODOH pelumba muda, Mick Schumacher bersama pasukan Haas dalam saingan Formula Satu (F1) mungkin tidak lama ekoran prestasinya yang tidak menentu.
Prinsipal pasukan, Guenther Steiner mendakwa, pelumba berusia 23 tahun itu tidak konsisten dalam perlumbaan yang disertainya.
Ia satu perkara yang kurang mengembirakan buat anak legenda F1, Michael Schumacher itu ketika saingan berbaki enam perlumbaan.
Mick sekadar mengutip 12 mata musim ini selain dibayangi prestasi lebih mantap Kevin Magnussen yang kembali menyertai pasukan itu selepas pelumba Rusia, Nikita Mazepin diketepikan.
Malah ada laporan mendakwa Mick dijangka meninggalkan pasukan pada akhir tahun ini.
Pada usia awal 20-an, pelumba dari Jerman itu masih muda dan mencuri tumpuan ketika menyertai P6 di Austria dan P8 di Silverstone awal tahun ini.
Bagaimanapun keputusan dalam perlumbaan lain mengecewakan dan Steiner memaklumkan masih ada tempat untuk pelumba lain di Haas.
Mengulas gandingan baharu Magnussen musim depan Steiner berkata, perkara itu belum dimuktamadkan.
"Ia belum diputuskan. Kami menimbang yang terbaik untuk kemajuan pasukan.
"Secara jujurnya, kami tak tahu sama ada Mick akan kekal atau tidak. Dia berlumba dengan baik di Kanada, Britain dan Austria, namun kurang konsisten dan perlu lebih kerap pamer prestasi cemerlang untuk kekal bersama pasukan," ujar Steiner.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!