Kerajaan peruntuk lebih RM16.4 juta bantuan bencana tahun ini

Kerajaan memperuntukkan lebih RM16.4 juta bantuan bencana sebagai persediaan menghadapi banjir seluruh negara. - Foto hiasan
Kerajaan memperuntukkan lebih RM16.4 juta bantuan bencana sebagai persediaan menghadapi banjir seluruh negara. - Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memperuntukkan lebih RM16.4 juta bantuan bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 sebagai persediaan menghadapi banjir seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan (Operasi), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM8 juta diperuntukan bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kepada 160 daerah.

"Selain itu, RM1.08 juta pula disalurkan kepada lapan agensi dan sekretariat JBPN seperti polis, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Hampir RM2.6 juta pula diperuntukan bagi kerja-kerja penyelengaraan dan penambahbaikan Fasa 1 untuk pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Bengkel Pengurusan Bencana Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Zon Timur 2022, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf; Ketua Polis Terengganu,Datuk Rohaimi Md Isa dan Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Mengulas lanjut, Meor Ismail berkata, sebanyak 320 bot fiber enjin dan jaket keselamatan disalurkan untuk pemeriksaan komuniti sepanjang MTL berlaku dengan jumlah peruntukan bernilai RM4.8 juta.

"Untuk persediaan banjir kali ini, kita juga telah menambah baik logistik sedia ada dan beberapa program bersama agensi dan komuniti terlibat bagi memastikan pengurusan banjir dapat dilaksanakan dengan baik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!