Serang polis dengan parang, tekong bawa PATI ditembak mati
KOTA BHARU - Seorang lelaki maut ditembak selepas menyerang anggota polis dengan parang ketika cuba menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di Jeram Perdah di sini, awal pagi Khamis.
Lelaki berusia awal 30-an itu terkena satu das tembakan di bahu kiri dalam Op Wawasan pada jam 1.40 pagi.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum itu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melihat sekumpulan PATI menyeberangi sungai dari Thailand ke Malaysia.
“Ketika kejadian, pengadu bersama seorang anggota cuba menahan lelaki itu namun dengan tiba-tiba dia berlari ke arah pengadu sambil memegang parang.
“Ketika lelaki tersebut menyerang pengadu dengan menggunakan parang, pengadu melepaskan satu das tembakan dari arah sisi kiri lelaki itu bagi mempertahankan dirinya daripada serangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap lelaki tersebut mendapati dia masih bernyawa dan dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.12 pagi.
“Tiada parut suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) ditemui di badannya dan dia dipercayai bukan warganegara Malaysia berdasarkan tiada dokumen diri ditemui padanya.
“Lelaki itu dipercayai tekong yang membawa masuk PATI melalui jalan tersebut ke satu tempat persembunyian sebelum diambil oleh pengangkut yang lain,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita warganegara Myanmar.
“Polis merampas sebilah parang di tempat kejadian dan sepucuk pistol Styer bersama peluru dari Kompeni Taktikal (Komtek) PGA Jeram Perdah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 55 E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!